UCL: Real Madrid Tumbang Di Anfield

Sepakan Szobozslai disambut Mac Allister bagi gol tunggal Liverpool menewaskan Real Madrid 1-0 pada aksi Liga Juara-Juara di Anfield pada 4 November 2025. Foto Liverpool FC

LIVERPOOL, 4 Nov – Pertembungan dua gergasi Eropah awal pagi tadi menyaksikan Alexis Mac Allister muncul wira Liverpool setelah tandukannya di babak kedua memastikan kemenangan 1-0 ke atas Real Madrid awal pagi tadi – kekalahan pertama pendahulu LaLiga itu dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.

Skuad kendalian Arne Slot kini naik ke tangga keenam kumpulan dengan sembilan mata selepas empat perlawanan, hanya ketinggalan menerusi perbezaan jaringan berbanding Real.

Tiga hari selepas menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris, Liverpool mempamerkan aksi bertenaga di Anfield dan memberi tekanan berterusan kepada penjaga gol Real, Thibaut Courtois, sebelum Mac Allister memecah kebuntuan pada minit ke-61.

Sepakan Szobozslai disambut tandukan Mac Allister bagi gol tunggal Liverpool menewaskan Real Madrid 1-0 pada aksi Liga Juara-Juara di Anfield pada 4 November 2025. Foto Liverpool FC

Gol tunggal itu berpunca daripada sepakan percuma Dominik Szoboszlai, yang menjadi nadi permainan tuan rumah sepanjang malam.

Pemain antarabangsa Argentina itu menanduk masuk bola ke penjuru gawang, menggamatkan suasana di Anfield.

Liverpool hampir dianugerahkan penalti pada babak pertama apabila sepakan Szoboszlai terkena tangan Aurelien Tchouameni, namun pengadil membatalkan keputusan selepas semakan VAR.

“Ia perlawanan yang bagus menentang pasukan hebat. (Courtois) penjaga gol yang luar biasa, semua orang tahu itu. Tapi hari ini kami bermain lebih baik dan layak menang,” kata Mac Allister kepada Amazon Prime.

Szoboszlai memiliki beberapa peluang keemasan, namun Courtois beberapa kali menggagalkan percubaannya termasuk satu rembatan jarak dekat hasil hantaran Florian Wirtz.

Real turut mencipta peluang apabila Jude Bellingham melepaskan rembatan dari sudut sukar, tetapi diselamatkan penjaga gol Liverpool, Giorgi Mamardashvili.

Pada separuh masa kedua, Kylian Mbappe mensia-siakan peluang terbaik Real apabila rembatannya tersasar.

Liverpool hampir menggandakan jaringan di hujung perlawanan selepas hantaran Mohamed Salah menemui Cody Gakpo di hadapan gol, namun sekali lagi Courtois menyelamatkan percubaan itu sebelum percubaan susulan Salah dihadang pertahanan Real.

Bekas pemain Liverpool, Trent Alexander-Arnold, yang menyertai Real Madrid pada jendela perpindahan lalu, dimasukkan sebagai pemain gantian lewat permainan dan menerima ejekan setiap kali menyentuh bola.

Pemain tengah Real, Federico Valverde, mengakui pasukannya tewas kerana kesilapan mudah.

“Kami datang untuk menang, tapi di sini sangat sukar. Mereka menekan tinggi dan kedua-dua pasukan ada peluang.

“Kami kehilangan tiga mata kerana gagal bertahan dengan baik ketika sepakan percuma itu,” kata Valverde kepada Movistar Plus.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *