UCL: Mampukah Liverpool Bangkit Atasi Galatasaray?

Reputasi Arne Slot kini tercalar susulan kekalahan 1-2 di tangan Crystal Palace di Selhurst Park. Foto Liverpool FC

LONDON, 29 Sep – Persoalan utama yang membelenggu fikiran Arne Slot ialah mampukah Liverpool bangkit semula dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi Rabu menentang tuan rumah Galatasaray di RAMS Park selepas mereka tewas kepada Crystal Palace, kelmarin?

Biarpun dua saingan tersebut berbeza, namun Slot perlu memikirkan semula skuad kesebelasan utama susulan kekalahan di Selhurst Park dan situasi itu amat membimbangkan memandangkan mereka melepaskan tujuh peluang besar dan sepatutnya sudah ketinggalan tiga atau empat gol pada separuh masa pertama.

Slot banyak melakukan penggiliran pemain dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dan perkara itu dijangka berterusan memandangkan Liverpool bakal menghadapi perlawanan kedua daripada tiga aksi di tempat lawan dalam tempoh lapan hari.

Federico Chiesa mungkin diturunkan dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Galatasaray awal pagi 30 September 2025. Foto Liverpool FC

Posisi bek kanan menjadi satu masalah dengan Conor Bradley dan Jeremie Frimpong masih belum benar-benar menonjol untuk mengisi tempat itu secara tetap.

Dominik Szoboszlai boleh dikatakan yang paling meyakinkan dalam peranan itu musim ini walaupun bermain di luar posisi asalnya, manakala Joe Gomez juga satu lagi pilihan tetapi juga kurang meyakinkan.

Slot mungkin memilih Gomez untuk diturunkan di posisi pertahanan tengah, memandangkan Ibrahima Konate yang bermasalah, terus bergelut ketika menentang Palace bersama kapten Virgil van Dijk. Wataru Endo turut berkemungkinan digunakan di bahagian pertahanan dalam beberapa bulan akan datang berikutan Giovanni Leoni yang kini disahkan tidak akan bermain sepanjang musim.

Liverpool (jersi merah) akan berdepan juara Piala FA, Crystal Palace pada pusingan keempat Piala Liga (Carabao Cup) bulan depan. Foto fail Reuters

Di posisi bek kiri, Milos Kerkez kembali mengatasi Andy Robertson, walaupun Robertson tersenarai dalam kesebelasan pada dua perlawanan pertengahan minggu Liverpool musim ini, termasuk ketika menjaringkan gol dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid.

Alisson Becker menunjukkan mengapa dia penjaga gol terbaik dunia ketika menentang Palace, dengan Giorgi Mamardashvili mengatasi Freddie Woodman sebagai penjaga gol kedua di belakang Alisson.

Slot mencuba pendekatan berbeza di bahagian tengah pada hujung minggu dengan Florian Wirtz diberikan peranan bebas sebelum kembali ke posisi asalnya sebagai pemain nombor 10 selepas separuh masa.

Tidak mungkin jurulatih Liverpool itu akan menyimpang daripada formasi tetap 4-2-3-1 di Istanbul. Namun, Wirtz kini menghadapi tekanan daripada Szoboszlai dan Curtis Jones untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, walaupun dia bermain cemerlang menentang Atletico dua minggu lalu.

Szoboszlai, Jones dan Endo juga pilihan kepada Alexis Mac Allister untuk bergandingan bersama Ryan Gravenberch di posisi tengah bertahan, memandangkan pemain antarabangsa Argentina itu masih bergelut untuk mendapatkan kecergasan sepenuhnya selepas pulih daripada kecederaan.

Pemain muda Trey Nyoni yang bermula dalam kemenangan Piala Liga ke atas Southampton minggu lalu dijangka tersenarai di bangku simpanan.

Reputasi besar The Reds kini dinilai semula setelah Palace memusnahkan rekod 100 peratus kemenangan ditambah lagi kemenangan Arsenal 2-1 ke atas Newcastle United malam tadi hanya dipisahkan dua mata sahaja.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *