GSF: Konvoi Bantuan Masuki Perairan Utara Mesir

Salah sebuah kapal yang menyertai GSF meneruskan perjalanan dan memasuki perairan Mesir awal pagi tadi. Foto GSF
ISTANBUL, 29 Sep – Konvoi pelayaran bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, kini memasuki perairan utara Marsa Matrouh di pantai Mediterranean Mesir, menurut penganjurnya pada Ahad, lapor Agensi Anadolu (AA).
Menurut Jawatankuasa Antarabangsa bagi Membanteras Sekatan Gaza, flotila itu dijangka belayar dalam beberapa jam menuju ke perairan utara bandar Alexandria.
“Kami menjangkakan Zionis melakukan jenayah perang terhadap kami pada bila-bila masa ketika kami semakin hampir dengan Gaza,” menurut jawatankuasa itu menerusi kenyataan di platform media sosial X.

Dalam perkembangan berasingan, Global Sumud Flotilla memaklumkan dua kapal utama mereka, OHWAYLA dan ALL IN, kini berada hanya 366 batu nautika (678 kilometer) dari Gaza, dengan jangkaan tiba dalam tempoh tiga hingga empat hari.
“Flotila kami kini berjumlah 44 kapal, diperkuatkan dengan pelancaran dua bot baharu yang sedang belayar menyertai flotila.
“Dalam tempoh dua hari lagi, flotila ini akan memasuki zon berisiko tinggi.

“Tekad kami tidak berbelah bahagi, namun inilah saat di mana kepekaan dan solidariti global amat diperlukan,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, jawatankuasa itu memaklumkan akan menghantar sebuah kapal khas membawa wartawan serta petugas perubatan ke Gaza yang dikenakan sekatan Israel.
Dalam satu kenyataan, ia menjelaskan, kapal berkenaan yang dijadual berlayar pada 1 Okt akan membawa lebih 100 wakil media antarabangsa dan doktor.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
