UCL: Dua Pemain Gantian Selamatkan Maruah Arsenal

Pemain Arsenal, Declan Rice beraksi baik ketika menewaskan Athletic Bilbao 2-0 pada aksi Liga Juara-Juara UEFA di San Mames, Bilbao pada 16 September 2025. Foto Reuters

BILBAO, 17 Sep – Arsenal terpaksa menggunakan khidmat dua pemain gantian sebelum menang 2-0 ke atas Athletic Bilbao pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) di sini awal pagi tadi.

Pasukan yang kalah pada separuh akhir musim lalu itu memulakan kempen di bumi Basque dengan langkah kanan apabila berjaya mengatasi saingan sengit hasil jaringan dua pemain ‘buangan’ Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard pada aksi di Stadium San Mames dalam perlawanan pertama daripada lapan aksi peringkat kumpulan.

Skuad kendalian Mikel Arteta, yang memburu trofi utama pertama sejak tahun 2020 serta kemenangan sulung dalam Liga Juara-Juara, mengutip tiga mata penuh hasil disiplin bertahan yang mantap dan dua jaringan lewat permainan.

Pemain Arsenal, Leandro Trossard meraikan gol kedua pasukannya ketika menewaskan Athletic Bilbao 2-0 pada aksi Liga Juara-Juara UEFA di San Mames, Bilbao pada 16 September 2025. Foto Reuters

Martinelli menjaringkan gol pada minit ke-72, hanya 36 saat selepas dimasukkan sebelum Trossard menambah gol kedua pada minit ke-87, masing-masing bertindak selaku penyumbang bantuan jaringan untuk satu sama lain.

“Kami mula berkembang sepanjang perlawanan. Pada separuh masa kedua kami lebih lancar, lebih dominan dan pemain yang masuk dari bangku simpanan memberikan impak untuk kami memenangi perlawanan,” kata Arteta kepada wartawan.

“(Pemain gantian) sekurang-kurangnya sama penting, malah kadang-kadang lebih penting.

Mikel Arteta berlepas dengan skuad Arsenal tanpa kelibat kapten Martin Odegaard bagi aksi Liga Juara-Juara menentang Athletic Bilbao awal pagi 17 September 2025. Foto Arsenal

“Kami sudah bincangkan perkara ini, musim ini pemain gantian mungkin lebih penting daripada pemain utama, kerana mereka boleh mengubah permainan apabila lawan mula kehilangan tenaga.”

Arsenal menurunkan empat pemain Sepanyol, termasuk dua pemain tengah kelahiran Basque, Mikel Merino dan Martin Zubimendi, yang pernah beraksi bersama seteru Athletic, Real Sociedad.

The Gunners yang kehilangan beberapa tonggak utama termasuk Bukayo Saka, mula menguasai rentak melalui pergerakan Viktor Gyokeres dan keazaman Noni Madueke di bahagian sayap kanan.

Penyerang Sweden itu hampir membuka tirai jaringan namun percubaannya ditepis Unai Simon, sebelum tandukan susulan pula sekadar sipi selepas menyambut hantaran berbahaya Jurrien Timber.

Arteta, yang berasal dari bumi Basque, menerima pujian daripada rakan sejawatnya Ernesto Valverde yang menyifatkannya antara jurulatih terbaik dunia dan terbukti apabila pertukaran yang dilakukannya mengubah permainan serta memastikan kepulangannya ke tanah kelahiran cukup manis.

Jurulatih Sepanyol itu memasukkan Martinelli menggantikan Eberechi Eze yang tidak menyerlah dan sebaik sahaja dimasukkan, gol yang ditunggu Arsenal pun hadir hasil serangan balas pantas.

Martinelli meluru menyambut hantaran Trossard, mengawal kemas untuk meninggalkan Andoni Gorosabel sebelum merembat menewaskan Simon.

Bintang Brazil itu sekali lagi memainkan peranan penting dalam gol kedua apabila menghantar bola ke belakang buat Trossard, yang menyudahkannya dengan keadaan bola yang sedikit yang terbias.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *