‘Membedah’ Muktamar Pas. Tapi Nak ‘Bedah’ Apa?

Tak disangka-sangka Muhyiddin Yassin dimalukan semahu-mahunya dalam Muktamar Agung parti rakan sendiri di hadapan ribuan perwakilan parti itu yang turut disiarkan secara langsung menerusi media sosial.
PENDAPAT, 17 Sep – Dari hari pertama sampailah pengumuman ahli jawatankuasa Pas Pusat yang baharu, nampaknya muktamar parti itu cuma ‘bernafsu’ mahu merampas Putrajaya semata-mata, meninggalkan perkara paling asas dalam setiap kerajaan demokrasi – melantik perdana menteri sebagai ketua kerajaan.
Kononnya disifatkan ‘muktamar penting bagi persediaan menuju PRU16’, sebenarnya tidak banyak yang boleh disimpulkan sebagai ‘berkhidmat untuk rakyat’ sebaliknya hanya mengulangi retorik lama bersandarkan keputusan PRU15 yang sudah pasti kini tidak lagi relevan dengan kepantasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membugar pemerkasaan ekonomi seperti NETR, RMK13 dan sebagainya.
Jauh terperosok di ‘kandang sendiri’ di Kota Sarang Semut, sebenarnya Pas kembali kepada ‘politik kampung’ iaitu menunggang agama, mencetuskan ketidak tenteraman di kalangan kaum dan menabur fitnah semahu-mahunya hatta berada dalam mesyuarat dihadiri perwakilan dari seluruh negara.

Lebih malang, ucapan dasar Abdul Hadi Awang termasuk ucapan penggulungan tidak banyak yang boleh diambil bagi memajukan negara sebaliknya menyindir Muhyiddin Yassin dari soal umur perdana menteri walaupun tidak ditujukan kepada ‘mana-mana pihak’.
Bayangkan apa perasaan menantu yang tak balik-balik itu apabila di hadapan perwakilan Pas, Muhyiddin disindir sebegitu rupa!
Kita tinggalkan ‘kesedihan’ Muhyiddin dilanyak rakan sekutu (kalau boleh dikatakan sekutu) tidak termasuk lagi bidasan pedas Muhammad Sanusi Md Noor yang seakan ‘menempelak’ parti Muhyiddin tanpa ‘filter’ tanpa perlu menjaga perasaan sesiapa.

Apa yang lebih memalukan adalah kegelojohan pemuda parti itu menamakan seorang timbalan presiden dikira ‘lemau’, ‘tiada kredibiliti’ malah tidak berfungsi untuk diangkat ‘menentang’ Anwar, dibidas keras Abdul Hadi yang telah ‘mensyaratkan’ calon perdana menteri ‘mesti’ di bawah umur 70 tahun.
Setelah ‘menolak’ diri sendiri dari awal lagi, penegasan Abdul Hadi jelas ditujukan kepada pimpinan pemuda yang seakan tidak sabar-sabar ‘merampas’ Putrajaya sedangkan hakikatnya calon perdana menteri mereka pun langsung tidak mampu mencabar ketokohan Anwar sama ada di dalam jauh sekali di luar negara.
Memang tidak salah meletakkan nama ahli parlimen Kubang Kerian untuk diangkat sebagai ‘poster boy’ PN tetapi belum pasti Bersatu akan mengalah setelah mereka meletakkan Muhyiddin dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang turut dihadiri wakil Pas dua minggu lepas.

Satu lagi yang nak ‘dibedah’ ialah sasaran 80 kerusi untuk dirangkul Pas juga sangat tidak realistik memandangkan 43 kerusi yang ada pun bukan semuanya boleh kekal kecuali di empat negeri SG4, itu pun belum semuanya ‘selamat’ dalam genggaman.
Di sinilah cakap-cakap Muhammad Sanusi mula dipersoalkan: untuk menang perlukan sekurang-kurangnya RM1 juta bagi setiap kerusi parlimen sedangkan had perbelanjaan hanya maksimum RM200 ribu, lima kali ganda daripada yang dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Walaupun ia bersifat ‘subjektif’ tetapi dengan ucapan terbuka semasa penggulungan sebagai pengarah pilihan raya Pas dan PN, adalah wajar Muhanmad Sanusi disiasat pihak berkuasa kerana ‘melanggar’ beberapa seksyen dalam akta kesalahan pilihan raya.

Jangan lupa, apa sahaja fitnah sama ada daripada para pembahas dan pemimpin parti itu juga mesti diambil tindakan andai memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.
Maka kesimpulannya, hala tuju muktamar Pas kali ini langsung tiada aura, tiada faktor ‘wow’ jauh sekali mampu mencabar Kerajaan Perpaduan dalam keadaan PN bergelut dengan masalah dalaman, siapa yang akan dicalonkan sebagai perdana menteri tunggal dan tawaran terbaik kepada rakyat.
Tetapi yang hampir pasti, perwakilan yang sudah pun pulang ke kawasan masing-masing lebih kecewa apabila sosok seperti Shahidan Kassim dan Annuar Musa yang entah datang dari mana kini berada dalam kepimpinan pusat tanpa perlu bersusah-payah menadah ‘tin melo’ di setiap ceramah di mana sahaja!
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
