Tuntutan Hasil 40 Peratus Sabah Disegerakan, Hargai Sumbangan PM Anwar

Segala bentuk mekanisme termasuk rundingan, perbincangan dan pelan tindakan bagi memuktamadkan MA63 termasuk tuntutan hasil 40 peratus Sabah, wajar dihargai rakyat Sabah berkat kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini. Foto PMO
PENDAPAT, 13 Nov – Satu demi satu isu berkenaan tuntutan 40 peratus hasil kepada Sabah dirungkai tanpa sebarang rasa gentar walau di mana sahaja, hatta di pasar pagi Gaya Street pada Ahad lalu.
Lebih mengejutkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri turun menjelaskan fakta sebenar mengapa Kerajaan Persekutuan bertindak sedemikian hingga membawa kepada Mesyuarat Jemaah Menteri khas pada 11 November lalu khusus bagi membincangkan tuntutan berkenaan.
Walaupun mungkin dilihat klisé namun tidak dapat tidak, usaha dan kesungguhan Perdana Menteri sebenarnya wajar dihargai terutama rakyat Sabah sendiri yang selama ini dikelirukan sesetengah pemimpin mereka sendiri sejak puluhan tahun lamanya.
Hasilnya, tindakan Kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober itu, membuktikan kesungguhan serta komitmen kerajaan dalam menyelesaikan isu tuntutan yang telah berlarutan sekian lama.

Keputusan ini mencerminkan keikhlasan kerajaan pimpinan Perdana Menteri untuk menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak istimewa negeri Sabah.
Malah Anwar telah mengumumkan bahawa Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) menulis surat kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Sabah untuk mengadakan rundingan segera bagi memuktamadkan perincian tuntutan berkenaan, tidak termasuk dengan peruntukan yang diumum menerusi Belanjawan 2025.
Untuk rekod, Sabah menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM17.6 bilion dalam Belanjawan 2025, sebagai bukti komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan negeri itu terus diperkasa.
Dana sebesar itu jelas Perdana Menteri, merangkumi pelbagai projek infrastruktur, termasuk bekalan elektrik, air, jalan raya, telekomunikasi serta pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo.
Katanya, selain peruntukan pembangunan, kerajaan juga sedang menyelaras semula mekanisme bayaran hasil kepada Sabah, agar selaras dengan semangat Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Langkah tersebut bukan sahaja memperlihatkan kematangan politik kerajaan persekutuan dalam menangani isu antara wilayah, malah menzahirkan pendekatan rundingan dan kerjasama yang lebih konstruktif dengan kerajaan negeri.
Ia juga menjadi bukti bahawa kerajaan pusat kini tidak berhasrat untuk berlengah atau menafikan hak yang termaktub dalam undang-undang, sebaliknya mahu mencari penyelesaian melalui dialog dan persefahaman bersama tanpa perlu mengugut atau mencetuskan perang politik yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Keputusan ini pasti mengembalikan keyakinan rakyat Sabah terhadap kesungguhan kerajaan pusat untuk menunaikan janji-janji reformasi dan keadilan fiskal antara negeri-negeri di Malaysia.
Ia juga membuktikan bahawa isu 40 peratus bukan sekadar slogan politik, tetapi satu komitmen nyata yang diambil secara bertanggungjawab oleh Perdana Menteri yang mungkin tidak dihargai sesetengah rakyat Sabah sendiri.
Dalam konteks ini, tindakan kerajaan persekutuan wajar dipuji kerana mengutamakan semangat perpaduan nasional, keseimbangan pembangunan, serta keadilan ekonomi yang lebih menyeluruh untuk rakyat Sabah dan Malaysia keseluruhannya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

