PMQT: RM17.6 Bilion Bukti Persekutuan Perkasa Pembangunan Sabah – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 13 November 2025. Foto YouTube Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 13 Nov – Peruntukan tertinggi sebanyak RM17.6 bilion yang ditermia Sabah menerusi pembentangan Belanjawan 2025, membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan negeri itu terus diperkasa, jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri menjelaskan, dana tertinggi itu merangkumi pelbagai projek infrastruktur, termasuk bekalan elektrik, air, jalan raya, telekomunikasi serta pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo.
Selain peruntukan pembangunan katanya, kerajaan juga sedang menyelaras semula mekanisme bayaran hasil kepada Sabah, agar selaras dengan semangat Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pandangan bahawa kita abaikan itu tidak tepat kerana Sabah mendapat peruntukan tertinggi RM17 bilion dan umpamanya, perjanjian MA63 menetapkan kawal selia bekalan elektrik mesti menjadi milik Sabah, maka kita dah serahkan pada Januari 2024.
“Tetapi walaupun ia menjadi milik Sabah, kita masih tetap menyediakan RM1.2 bilion kerana keperluan elektrik Sabah, begitu juga RM765 juta untuk projek Southern Link.
“Ianya boleh dipertikaikan sebagai tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, tetapi Kerajaan Persekutuan ada pilihan dan ada keutamaan kerana banyak lagi negeri-negeri lain yang mempunyai masalah,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, semua isu teknikal dan kadar semakan pemberian khas 40 peratus hasil akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan MA63 (MTPMA63) yang turut dianggotai Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.
Tambahnya, pendekatan itu bagi memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan rundingan rasmi antara kerajaan negeri dan Persekutuan, bukan keputusan sepihak.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

