Tuduhan 11 MP Tarik Sokongan Kepada PM Anwar Bukti Pembangkang Amal ‘Politik Toksik’

Naib Presiden KEADILAN Chang Lih Kang menyifatkan penyebaran berita palsu di WhatsApp sebagai mengarut. Foto Facebook Chang Lih Kang

PENDAPAT, 29 MeiDakwaan pempengaruh pembangkang kononnya seramai 11 Ahli Parlimen dari KEADILAN menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan betapa ‘tenatnya’ pemikiran mereka yang terus gigih menyebarkan berita palsu di media sosial sejak semalam.

Telah lama mereka mendakwa ‘itu dan ini’ termasuk kononnya kerajaan akan ‘tumbang’ pada tarikh yang mereka letakkan sesuka hati, namun akhirnya dakwaan mereka langsung tidak berasas, menambahkan lagi modal ‘politik toksik’ yang sudah sekian lama diamalkan mereka.

Sedang mereka mengetahui bahawa kerajaan hanya boleh digantikan sama ada menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) atau hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat, pihak tidak bertanggungjawab ini tetap menyebarkan berita palsu kononnya akan berlaku ‘Langkah Sheraton 2’ walaupun kerajaan memiliki majoriti dua pertiga.

Akmal Nasir mengimbau kembali perjuangan Rafizi dan Nik Nazmi di Facebook pada 29 Mei 2025. Foto Facebook Akmal Nasir

Dakwaan ini juga langsung tidak masuk akal kerana Chang Lih Kang dan Datuk Seri Aminuddin Harun masing-masing baru dipilih sebagai Naib Presiden KEADILAN dan masih memegang jawatan sebagai Menteri MOSTI dan Menteri Besar Negeri Sembilan sehingga kini.

Malah, ramai dalam senarai tersebut juga adalah pimpinan utama yang menang dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) seperti Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, kekal setia bersama Perdana Menteri.

Perdana Menteri sendiri tidak membuat apa-apa keputusan memandangkan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad kini sedang bercuti seperti yang ditegaskan hari ini.

“Saya tidak fikir ahli parlimen yang ‘disenaraikan’ menerusi kiriman WhatsApp akan menarik sokongan kepada Perdana Menteri kerana hanya kerana kalah dalam pemilihan parti.

“Mereka juga sedar pengunduran Rafizi dan Nik Nazmi satu proses normal dalam sistem Westminster iaitu apabila tewas dalam pemilihan parti, mereka bersedia berundur dari jawatan kabinet tetapi kekal sebagai ahli parlimen dalam Kerajaan Perpaduan yang terus menyokong Perdana Menteri,” jelas Ketua Cabang KEADILAN Pengerang, Faizul Abdul Ghani.

Terdahulu Lih Kang menepis dakyah berkenaan di Facebook pada Rabu dengan mengambil konteks peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi adalah demi menjaga adab dan semangat demokrasi dalam parti.

“(Datuk Seri) Rafizi dan Nik Nazmi letak jawatan Kabinet untuk menjaga adab dan semangat demokrasi.

“Yang lain tidak perlu menangguk di air keruh. Noktah,” katanya.

Selain Lih Kang, Rafizi, Nik Nazmi dan Aminuddin, mereka yang turut tersenarai dalam mesej tersebut antaranya ialah Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing.

Turut ‘tersenarai’ dalam sebaran palsu itu ialah Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Subang; Wong Chen.

Kesemua mereka menafikan tuduhan tersebut termasuk Wong Chen yang menghormati keputusan Nik Nazmi dan mengalu-alukan kehadirannya ke barisan penyokong kerajaan (backbanchers) menerusi hantaran ulasannya di Facebook pada Rabu.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen mengalu-alukan kehadiran Nik Nazmi ke barisan ‘backbenchers’ Kerajaan Perpaduan pada 28 Mei 2025. Foto Facebook Wong Chen

Adalah amat dikesali berita palsu sebegini tetap menjadi ‘tunggangan’ pempengaruh pembangkang ekoran tiada ‘modal’ untuk menyerang kerajaan di saat mereka sendiri ketandusan isu semasa untuk menarik kembali sokongan rakyat yang semakin lesu terhadap mereka kebelakangan ini.

Justeru, menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan penyebaran berita sebegini tidak lagi menjadi satu kebiasaan terutama menerusi media sosial yang belum dapat ditentukan kesahihannya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *