PM Anwar Puji Semua Pihak Atas Kejayaan Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri, Putrajaya pada 29 Mei 2025. Foto Jabatan Perkhidmatan Awam

PUTRAJAYA, 29 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berkat hasil bukti kecekapan, dedikasi dan semangat berpasukan luar biasa jentera dan agensi kerajaan serta sokongan padu rakyat.

Mengulas mengenai kejayaan berkenaan, Perdana Menteri berkata, faktor inilah menjadi kelancaran keseluruhan urusan sepanjang sidang kemuncak berlangsung, daripada sektor keselamatan, kolaborasi antara pelbagai agensi dan pengurusan acara hingga ke barisan hadapan perkhidmatan awam.

“Saya lihat di semua peringkat, anak kita, penjawat awam, semuanya hebat. Dari lapangan terbang, perbarisan, polis, imigresen, Malaysia Airports (Holdings Berhad), pengurusan hotel, Kementerian Luar yang menyelaras, sehinggalah Jabatan Perdana Menteri yang mengurus protokol.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri, Putrajaya pada 29 Mei 2025.

“Saya pun pening dengan protokol, tetapi saya ikut apa yang pegawai arahkan kepada perdana menteri sebab kita negara yang ada peraturan dan bekerja sebagai satu pasukan,” katanya berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Antara agensi lain yang terlibat dalam kejayaan penganjuran sidang kemuncak kali ini antaranya Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) bagi segmen Majlis Makan Malam Gala, Jabatan Peguam Negara bagi segmen Deklarasi Kuala Lumpur 2045 dan sebagainya.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan pemimpin GCC pada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 27 Mei 2025.

Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025 turut memberitahu penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN Oktober ini juga merupakan satu bentuk kejayaan bersama dalam kalangan negara anggota serantau itu.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berakhir Selasa lalu menyaksikan beberapa siri pertemuan peringkat tinggi diadakan, bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan memperluas perkongsian strategik dalam pelbagai bidang.

Antara mesyuarat utama termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir bersama pemimpin ASEAN pada Majlis Menandatangani Deklarasi ‘ASEAN 2045 : Our Shared Future’ sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 26 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *