Trump ‘Koyak’ Halang Kenderaan Presiden Perancis Hingga Terpaksa Berjalan Kaki

Presiden Perancis Emmanuel Macron menelefon Presiden Trump selepas terpaksa berjalan kaki dari luar ibu pejabat PBB di Manhattan, New York ekoran sekatan jalan raya bagi memberi laluan kepada konvoi Trump pada 22 September 2025. Foto The Guardian
NEW YORK, 24 Sep – Gara-gara ‘koyak’ teruk akibat banyak negara mengiktiraf Palestin, konvoi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menghalang perjalanan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang mengalami detik luar jangka apabila terpaksa berjalan kaki merentasi jalan raya Manhattan, di sini malam Isnin lalu.
Situasi luar jangka itu menyebabkan kesesakan lalu lintas hingga tidak bergerak di sekitar ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di mana para pemimpin seluruh dunia menyatakan sokongan terhadap negara Palestin berdaulat.
Insiden berlaku lewat malam Isnin ketika Macron dan delegasinya cuba meninggalkan bangunan PBB selepas menyampaikan ucapan berprofil tinggi yang mengiktiraf negara Palestin.

Namun, laluan keluar disekat sepenuhnya oleh kawalan keselamatan untuk konvoi Trump, memaksa Macron keluar dari kenderaannya dan berjalan kaki selama hampir 30 minit ke destinasi seterusnya di Kedutaan Perancis di Amerika Syarikat.
Dalam satu rakaman video yang tular, Macron dilihat menelefon Trump sambil berdiri di tepi jalan.
“Nak tahu? Saya terpaksa menunggu di tepi jalan kerana semua jalan telah ditutup untuk kamu,” katanya sambil ketawa.

Seorang pegawai Jabatan Polis New York (NYPD) turut meminta maaf atas gangguan tersebut, menjelaskan bahawa semua laluan ditutup sementara untuk laluan konvoi presiden AS.
Menurut sumber diplomatik, panggilan tersebut berlangsung dalam suasana mesra dan kedua-dua pemimpin sempat berbincang mengenai isu antarabangsa termasuk situasi di Gaza.
Ketika berjalan kaki, Macron sempat berinteraksi dengan orang awam yang terkejut melihat pemimpin dunia berada di jalan raya tanpa kawalan ketat.

Beliau dilaporkan melayan permintaan swafoto dan menerima ciuman spontan dari seorang pejalan kaki, yang disambut dengan senyuman dan gurauan oleh presiden Perancis itu.
Insiden tersebut berlaku hanya beberapa jam selepas Macron mengumumkan pengiktirafan rasmi Perancis terhadap negara Palestin di pentas PBB, satu langkah yang bertentangan dengan pendirian Trump yang menolak usaha tersebut dan menyifatkannya sebagai “ganjaran kepada Hamas”.
Walaupun insiden trafik ini kelihatan remeh, ia mencerminkan perbezaan ketara antara dua pendekatan diplomatik – satu yang berasaskan simbol keamanan dan pengiktirafan politik, dan satu lagi yang berpusat kepada kekuasaan dan keangkuhan seorang pemimpin terhadap kawalan keselamatan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
