Timor-Leste Beri Penghormatan Tertinggi Buat PM Anwar Berucap Di Parlimen

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan menyampaikan ucapan bersejarah di Parlimen Timor-Leste di Dili pada 24 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
DILI, 24 Sep – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan tertinggi menyampaikan ucapan bersejarah di Parlimen Timor-Leste di sini pada hari kedua lawatan rasmi hari ini.
Ketibaan Perdana Menteri di perkarangan bangunan parlimen di sini disambut Presiden Parlimen Nasional Timor-Leste, Maria Fernanda Lay pada 8.55 pagi bagi mengadakan pertemuan ringkas di Pejabat Presiden di sini, sebelum menyampaikan ucapannya pada 9 pagi.

Penghormatan itu juga diberikan kepada Anwar yang juga Pengerusi ASEAN 2025 berucap di hadapan ahli-ahli parlimen negara itu yang menekankan bahawa Parlimen adalah wadah tertinggi yang mewakili suara rakyat dan mendokong prinsip demokrasi.
“Justeru, institusi ini perlu dipertahankan dan diperkasakan sebaik-baiknya, sama ada di Malaysia, di Timor-Leste mahupun di mana-mana negara yang menjunjung demokrasi,” katanya.

Ucapan itu dianggap satu penghormatan istimewa yang mencerminkan kehangatan serta keyakinan yang semakin meningkat dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste sejak Anwar dilantik Perdana Menteri pada November 2022.
Pada 10 pagi, Perdana Menteri meneruskan jadual di Istana Kerajaan bagi mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão.

Sesi berkenaan turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) diikuti sidang media bersama pada 11 pagi.
Pada 11.30 pagi, berlangsung acara ekonomi penting dengan pelancaran projek pembangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) di Pelabuhan Dili, yang dijangka meningkatkan keupayaan Timor-Leste menganjurkan acara antarabangsa berskala besar.

Anwar akan mengadakan sidang media bersama media Malaysia pada 12.30 tengah hari, sebelum berangkat ke Istana Presiden bagi menyampaikan Syarahan Presiden dan menghadiri Majlis Penganugerahan pada 2 petang.
Dalam majlis di China Hall itu, Anwar akan dikurniakan Grand Collar of the Order of Timor-Leste, iaitu anugerah sivil tertinggi negara tersebut.
Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada 3.30 petang waktu tempatan, sekali gus mengakhiri lawatan rasmi dua hari — yang juga lawatan pertama oleh seorang pemimpin Malaysia ke Timor-Leste dalam tempoh 22 tahun.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
