Timbalan Menteri Perlu Kuasai Kerangka Kerajaan MADANI – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertukar fikiran pada pemukiman bersama timbalan menteri di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 22 Feb – Semua timbalan-timbalan menteri harus menguasai kerangka pemikiran dan dasar-dasar di bawah gagasan MADANI, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, anggota pentadbiran ini perlu bergerak di luar kerangka pendekatan lampau, yang hanya menumpukan pada urusan kementerian sendiri semata-mata.
“Sebaliknya semua jentera kementerian dan agensi perlu menyokong antara sama lain dengan membantu memberi penjelasan kepada rakyat terhadap apa jua isu berbangkit, sekali gus bertindak sebagai satu pasukan dengan semangat perpaduan yang sebenar,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Anwar menyampaikan amanat dan dialog di Pemukiman Timbalan-Timbalan Menteri di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini hari ini, usai Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
Dalam sesi pemukiman itu, Anwar menyambut baik beberapa pandangan dan cadangan disuarakan beberapa timbalan menteri yang berkobar-kobar mahu memastikan kebajikan rakyat terbela dan negara dilimpahi kemakmuran.
“Saya punya harapan besar untuk melihat siri-siri pemukiman membabitkan pimpinan tertinggi kerajaan ini akan mencetus perubahan terhadap gerak kerja Kerajaan MADANI yang lebih berkesan dalam usaha mengangkat negara ini ke tingkat tertinggi,” katanya.
Anwar sebelum ini juga menghadiri sesi pemukiman bersama Menteri-Menteri Kabinet yang berlangsung di Cyberjaya, Januari lalu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
