KL Prosperity Walk Sempena Tahun Baru Cina 2024 Raikan Kepelbagaian Budaya, Perpaduan Kaum

KL Prosperity Walk sempena sambutan Chap Goh Mei yang akan diadakan esok menghargai kepelbagaian budaya warga kota yang disokong Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Foto Instagram Andre Lai

PENDAPAT, 23 Feb – Dalam usaha menyemarakkan kemeriahan di ibu kota, Rangkaian Komuniti Bukit Bintang (NBBC) menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Pelancongan BBKLCC berganding bahu menganjurkan Kuala Lumpur Prosperity Walk yang akan berlangsung pada Sabtu ini, 24 Februari.

Acara kali ketiga itu diadakan bersempena dengan sambutan Chap Goh Mei 2024 dan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sejak penganjuran julung kalinya pada 2022, Kuala Lumpur Prosperity Walk telah menjadi acara tahunan yang memberi makna kepada identiti segitiga Bukit Bintang dengan semangat FAME – iaitu akronim untuk Festival [F], Seni & Budaya [A], Muzik & Tarian [M], Elektronik & lain-lain [E], yang menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial-ekonomi setempat.

Sambutan tahun ini lebih bermakna dengan sokongan berterusan DBKL sendiri yang menyenaraikan Kuala Lumpur Prosperity Walk sebagai sebahagian daripada aktiviti rasmi sambutan Tahun Baru Cina.

KL Prosperity Walk sempena sambutan Chap Goh Mei yang akan diadakan esok menghargai kepelbagaian budaya warga kota yang disokong Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Foto Instagram Andre Lai

Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Lai Chen Heng dan Carmen Leong telah dilantik sebagai penaung untuk KL Prosperity Walk kali ini.

Lai berkata, acara ini akan mengambil masa lebih kurang sejam perjalanan berjalan kaki yang menggunakan laluan sepanjang 4.3 kilometer.

“Pada acara itu Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh akan merasmikan upacara pelepasan (flag-off) di Dataran Merdeka pada jam 5.15 petang.

“Laluan utama merangkumi pelbagai mercu tanda ikonik Bukit Bintang dan ini termasuk Pasar Seni, River of Life (RoL), pusat membeli-belah komuniti GMBB, Hotel Federal, Lot 10, Plaza Low Yat, Sungei Wang, Berjaya Times Square, dan berakhir di Lalaport,” katanya pada sidang media pelancaran program berkenaan, baru-baru ini.

Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Andre Lai dan Carmen Leong dilantik sebagai penaung bagi KL Prosperity Walk semasa sidang media program pada Khamis. Foto Instagram Andre Lai

Carmen pula berkata, acara itu juga akan diserikan dengan persembahan tarian naga dan singa untuk hiburan pengunjung pada majlis pelepasan untuk menonjolkan semangat kepelbagaian Malaysia MADANI.

”Pakaian kostum berwarna-warni dan persembahan muzik akan mengiringi peserta di sepanjang laluan, yang mempamerkan keunikan intipati dinamik bandaraya. Hampir di setiap ‘check point’ akan ada penampilan kebudayaan dari pelbagai latar belakang etnik, demi menyantuni semangat Malaysia MADANI.”

Sementara itu, Pengerusi Penganjur NBBC Jack Lim berkata, pihaknya mezahirkan rasa terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada pihak berkuasa tempatan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“NBBC amat bersyukur dan berterima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan dan semua yang terbabit, terutamanya Lai dan Carmen sebagai Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur yang menyakinkan Datuk Bandar untuk menjadikan KL Prosperity Walk sebahagian daripada kalender program rasmi DBKL.

Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Andre Lai berucap pada sidang media penganjuran KL Prosperity Walk di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto Instagram Andre Lai

“Terdapat begitu banyak perkara untuk diterokai di sini, dan kami menjemput semua orang untuk menyertai kami bagi bersama meraikan betapa dinamiknya budaya komuniti setempat. Saya sebagai anak jati Bukit Bintang amat bangga, program ini mendapat sambutan yang baik daripada pemain industri pelancongan setempat,” katanya.

Sementara Encik Ng Yih Chen, Pengerusi Persatuan Pelancongan BBKLCC dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur KL Prosperity Walk menambah, “KL Prosperity Walk ini bukan hanya sekadar untuk meraikan perayaan Tahun Baru Cina. Ia juga untuk meraikan sumbangan komuniti setempat dalam pembangunan fabrik sosial Kuala Lumpur.

“Dalam dua acara yang lalu, kami telah membawa sumbangan yang memperkasakan masyarakat setempat. Kami berhasrat untuk mengulangi kejayaan yang sama pada tahun ini, dan itu hanya boleh dilakukan dengan sumbangan dan sokongan daripada para penyumbang, penaja dan rakan kongsi kami,” ujarnya.

Satu sidang akhbar bertemu pengamal media telah diadakan pada 20 Februari 2024 di Sungei Wang Plaza dan dihadiri oleh rakan kongsi dan rakan penaja.

Kemeriahan KL Prosperity Walk 2023 yang berlangsung menjadi penanda aras sambutan tahun ini yang memperlihatkan kepelbagaian budaya dan warna-warni masyarakat Malaysia di ibu kota. Foto Arkib

Pihak yang terlibat pada KL Prosperity Walk kali ini termasuklah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), MPP Bukit Bintang, Rukun Tetangga – KRT, BBKLCC, Fahrenheit 88, Lot 10, Pavilion KL, Plaza Low Yat, Sungei Wang Plaza, Suria KLCC, The Starhill, Pasar Seni, GMBB, Berjaya Times Square, Lalaport, Muzium Bandar (UR-MU) dan TS Law Land.

Kenderaan seperti kereta dan motosikal rasmi untuk acara ini pula disediakan oleh rakan penaja iaitu Sime Darby Motors.

Selain dari itu, lain-lain penaja, penyumbang dan penyokong adalah World Dragon dan Lion Dance Extravaganza Sdn. Bhd., ⁠Persatuan Peniaga Kecil Jalan Alor, ⁠KL Society, ⁠VIDA Bukit Ceylon, ⁠MOV Hotel, ⁠Lions Club Kuala Lumpur selaku Hos dan ⁠Asia Pacific University (APU).

Selain KL Prosperity Walk, NBBC & BBKLCC turut menyusun kalendar acara tahunan yang menawarkan pelbagai peluang untuk penglibatan orang ramai mengetengahkan bakat mereka dalam bidang seni dan persembahan jalanan (street performance).

Turut menjadi tarikan ialah pelbagai jenis makanan tradisional daripada pelbagai kaum selain pertunjukan kebudayaan menyerlahkan keunikan dan keceriaan masyarakat Malaysia.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *