Malaysia Catat Pelaburan Tertinggi Dalam Sejarah RM329.5 Bilion Tahun Lalu – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah iaitu RM329.5 bilion tahun 2023. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 22 Feb – Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara, sebanyak RM329.5 bilion pada tahun lalu, iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, daripada jumlah pelaburan tersebut, pelaburan asing adalah penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik 42.8 peratus.
“Prestasi cemerlang ini disokong oleh peningkatan sebanyak 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan sebanyak 15.3 peratus bagi pelaburan asing.
“Secara tidak langsung, ini merupakan satu petanda bahawa dasar mesra pelaburan (pro-investment) dan mesra perniagaan (pro-business) yang dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh Kerajaan (whole-of-government) telah mula membuahkan hasil dalam meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jumlah pelaburan yang diluluskan itu membabitkan 5,101 projek dan berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan negara.

“Sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi dengan menyumbang lebih daripada separuh (51.1 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu RM168.4 bilion.
“..diikuti oleh sektor perkilangan sebanyak RM152.0 bilion (46.1 peratus) dan sektor utama (primary industries) sebanyak RM9.1 bilion (2.8 peratus),” katanya memaklumkan rekod pelaburan itu dibentang dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) hari ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
