Tiga Unit Pangsapuri Terbakar

Anggota bomba memadam sisa api dalam seunit pangsapuri Taman Nelly yang terbakar petang tadi. Foto Bomba.
KOTA KINABALU, 10 Feb – Tiga unit rumah di tingkat empat, pangsapuri Taman Nelly, Kolombong di sini, terbakar petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.17 petang.
Katanya, 30 pegawai dan anggota bersama empat jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Lintas, Kota Kinabalu dan Penampang digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba yang tiba segera memadam kebakaran menggunakan satu aliran daripada sumber air jentera dan pili bomba berhampiran.
“Api berjaya dikawal pada 5.50 petang,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, seunit rumah terbakar 100 peratus, manakala dua lagi terjejas, namun tiada mangsa dilapor terbabit.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
