Tiga Termasuk Dua Beranak Rentung Rumah Terbakar Di Pitas

Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa rentung untuk diserahkan kepada pihak polis.

KOTA MARUDU, 1 Ogos – Tiga rentung termasuk dua beranak dalam kebakaran rumah di Kampung Blok 5, berhadapan sebuah pasar raya di Pitas, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa rentung adalah seorang warga emas berumur 60-an dan lelaki berumur 50-an serta anak perempuannya berumur 11 tahun.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, tiga lagi mangsa lain dilaporkan cedera, termasuk dua beradik mangsa perempuan yang ditemukan rentung.

Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.19 pagi.

“Bertindak dengan panggilan, seramai sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Asman Omar digerakkan ke lokasi kejadian.

“Semasa ketibaan pihak bomba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal terbakar sepenuhnya.

“Turut terbakar dua kenderaan jenis sedan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, terdapat tiga mangsa ditemukan rentung iaitu dua lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Mangsa pertama iaitu kanak-kanak perempuan ditemukan di ruang tamu dan mangsa kedua iaitu bapanya ditemukan di bahagian dapur manakala mangsa ketiga di kamar mandi.

“Manakala tiga lagi mangsa perempuan mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Pitas oleh orang awam.

“Ketiga-tiga mangsa yang rentung diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran, satu pancutan dengan sumber air dari jentera.

“Operasi terkawal pada jam 3.25 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 6.36 pagi.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *