Tiada Sijil Perakuan, Kapal Tunda, Tongkang Ditahan Maritim Malaysia

Kapal tunda bersama tongkang yang dikendalikan sembilan kru ditahan ketika bersauh di perairan Kuala Baram pada 19 Mei 2026. Foto Maritim Malaysia
MIRI, 20 Mei – Sebuah kapal tunda bersama tongkang yang dikesan tidak memiliki sijil kelulusan peralatan komunikasi dan dokumen kestabilan utuh kapal ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Miri ketika bersauh di perairan Kuala Baram dekat sini, petang Selasa.
Ketika ditahan, kapal tunda bersama bot berkenaan berada pada kedudukan kira-kira 2.5 batu nautika barat laut Kuala Baram, dekat sini.
Pengarah Maritim Zon Miri Mohd Khairol Anuar Saad berkata hasil pemeriksaan mendapati vesel tunda terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana tidak memiliki sijil kelulusan penggunaan peralatan komunikasi radio di atas kapal.

“Selain itu tongkang yang ditunda turut disyaki melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 selepas gagal mengemukakan dokumen kestabilan utuh kapal semasa pemeriksaan dijalankan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan dikendalikan oleh sembilan kru warga tempatan berusia antara 23 hingga 54 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Berikutan itu katanya, satu perintah tahanan dikeluarkan terhadap kapal dan tongkang terbabit sebelum diarahkan ditahan di perairan Kuala Baram bagi tujuan siasatan lanjut.

“Perintah tahanan telah dikeluarkan terhadap kedua-dua kapal berkenaan untuk ditahan di perairan Kuala Baram sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut,” jelasnya.
Khairol menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh mengancam keselamatan pelayaraan serta mengakibatkan kehilangan harta benda.
Tambahnya, penguatkuasaan di perairan negara akan terus dipertingkatkan secara konsisten bagi memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang sentiasa terperihara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Miri di talian 085-649111 untuk tindakan segera.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
