Amang Seksual: Guru Wanita Dituduh Pegang, Tunjuk Alat Sulit Kepada Pelajar

Tertuduh, Nurul Asyikin Sutan Shahril (bertudung ungu) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada 20 Mei 2026.

SEREMBAN, 20 Mei – Kes berkaitan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap kanak-kanak seperti pelajar sekolah dilihat semakin membimbangkan kebelakangan ini, termasuk melibatkan golongan pendidik yang sepatutnya melindungi maruah mereka.

Tindakan seorang guru wanita sebuah sekolah menengah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual berkenaan dengan memegang dan menunjukkan alat sulit terhadap anak murid lelakinya berusia 14 tahun sejak September 2025 hingga April lalu, cukup membimbangkan.

Tertuduh, Nurul Asyikin Sutan Shahril, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua lima pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Asyikin Ab Rashid.

Tertuduh, Nurul Asyikin Sutan Shahril (bertudung ungu) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada 20 Mei 2026.

Mengikut fakta bagi tiga pertuduhan, Nurul Asyikin didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun 5 bulan semasa kejadian yang mana dia mempunyai hubungan amanah dengannya sebagai guru kelas.

Kesalahan tersebut dilakukan di bawah pokok di hadapan Taman Apartment Arowana Seremban 2 dan di sebuah rumah di Taman Nusa Intan, di sini antara 12 September 2025 hingga 7 April 2026.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 Akta yang sama.

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan [Akta 574] dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan sebat, manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 16, boleh dipenjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa dengan cara menunjukkan gambar alat sulitnya melalui aplikasi Whatsapp bagi maksud seksual dan turut mendorong mangsa menghantar gambar sama.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamim RM25,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

Oleh Nur Shafawati Yup

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *