Tiada Lagi Pergerakan Bebas Visa Di Sempadan India-Myanmar

Seorang individu berjalan di atas jambatan yang menghubungkan Myanmar dan India di perkampungan sempadan Zokhawthar, daerah Champhai, di negeri timur laut India di Mizoram. Foto Reuters

NEW DELHI, 9 FebIndia bakal menamatkan dasar pergerakan bebas visa yang diperkenalkan bersama Myanmar sejak berdekad lalu bagi rakyat di sempadan kedua-dua negara itu.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri India, Amit Shah berkata ia atas faktor keselamatan negara dan untuk mengekalkan struktur demografi wilayah timur laut.

Pengumuman itu menyusul beberapa hari selepas beliau dilaporkan berkata, sempadan sepanjang 1,643 kilometer (km) itu akan dipagarkan.

Ketika ini, penduduk yang tinggal dalam zon lingkungan 16km di kedua-dua belah sempadan, dibenar untuk melakukan pergerakan bebas visa.

“Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah memutuskan bahawa Rejim Pergerakan Bebas antara India dengan Myanmar, dimansuhkan bagi memastikan keselamatan dalaman negara dan mengekalkan struktur demografi wilayah di timur laut India yang bersempadan dengan Myanmar,” kata Shah dalam satu kenyataan.

Seorang individu berjalan di atas jambatan yang menghubungkan Myanmar dan India di perkampungan sempadan Zokhawthar, daerah Champhai, di negeri timur laut India di Mizoram. Foto Reuters

Sejak rampasan kuasa tentera di Myanmar pada 2021, ribuan orang awam dan ratusan tentera telah melarikan diri ke negeri-negeri India di mana komuniti antara kedua-dua negara berkongsi hubungan etnik dan kekeluargaan.

Ini telah membimbangkan New Delhi kerana risiko ketegangan kaum merebak ke India.

Beberapa anggota kerajaan India juga menyalahkan sempadan antarabangsa yang menyebabkan keadaan tegang di negeri Manipur India yang bergolak bersebelahan dengan Myanmar.

Hampir setahun Manipur diselubungi situasi seperti perang saudara antara dua kumpulan etnik, satu daripadanya berkongsi keturunan dengan suku Chin Myanmar.

Berucap pada sidang akhbar mingguan, jurucakap kementerian luar India Randhir Jaiswal berkata “keadaan di sepanjang sempadan adalah serius”.

Seorang pegawai kerajaan, yang enggan namanya didedahkan, berkata India perlu memaklumkan kepada Myanmar tentang keputusannya untuk membatalkan dasar pergerakan itu tetapi penggantungan boleh berlaku serta-merta.

Jurucakap junta Myanmar tidak memberi kenyataan berhubung perkara itu.

Pemerintah tentera Myanmar minggu lalu melanjutkan keadaan darurat sejak rampasan kuasa, ketika mereka berjuang untuk membendung pemberontakan berdarah, pro-demokrasi yang telah menguji keupayaannya untuk memerintah.

Sempadan India-Myanmar di Zokhawthar menurut peta Google Earth yang jelas tiada pos sempadan di kedua-dua negara. Foto Google Earth

Pada Selasa, India menasihatkan mana-mana rakyatnya di sempadan Myanmar iaitu di Rakhine untuk meninggalkan segera berikutan “keadaan keselamatan yang semakin merosot, gangguan alat telekomunikasi, termasuk talian tetap, dan kekurangan teruk komoditi penting”.

Sejak Oktober, lebih 700 tentera Myanmar telah menggunakan India untuk laluan selamat. Pemberontak telah menguasai sebuah bandar berhampiran sempadan, mendorong ribuan orang melarikan diri dari ke India.- REUTERS


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *