Bersedia Hapuskan Musuh Jika Guna Kekerasan – Korea Utara

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un (duduk, tengah) dan anak perempuannya, Ju Ae (berdiri di tengah) bergambar bersama komander tentera sempena ulang tahun ke 76 penubuhan Angkatan Tentera Korea Utara. Foto AFP
SEOUL, 9 Feb – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un memberi amaran negara itu tidak akan teragak-agak menggunakan segala kuasa ketenteraan untuk menghapuskan musuh yang menggunakan kekerasan terhadapnya.
“Jika musuh cuba menggunakan kekerasan terhadap negara kita… kita akan membuat keputusan berani untuk mengubah sejarah dan tidak teragak-agak untuk menggunakan semua keupayaan untuk menghapuskan mereka,” katanya.
Beliau turut mengulangi ikrarnya tidak akan mengadakan sebarang dialog atau rundingan dengan Korea Selatan, yang menurutnya adalah ‘musuh nombor satu’ Korea Utara.
Malah, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) turut memetik kenyataannya bahawa dasar kesediaan tentera yang kuat adalah satu-satunya cara untuk memastikan keamanan dan keselamatan bagi Korea Utara.

Katanya, penyatuan semula secara aman adalah mustahil dan negaranya sedang membuat perubahan dasar mengenai cara ia berurusan dengan Korea Selatan, dalam anjakan besar yang mentakrifkan semula hubungannya dengan Seoul.
Jong-un berkata demikian dalam ucapan sempena menyambut ulang tahun angkatan tentera negara berkuasa nuklear itu, yang juga sekutu kuat Russia dan China.
Tahun lalu, perarakan tentera secara besar-besaran diadakan pada tengah malam, termasuk pameran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) terbesar miliknya.
Media kerajaan tidak menyebut acara berskala besar yang sama pada tahun ini, namun berkata terdapat perarakan kehormat untuk Jong-un di Kementerian Pertahanan.
Beliau juga menghadiri jamuan bersama komander tentera dan askar untuk meraikan ulang tahun itu. – REUTERS
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
