Industri Pelancongan Pengganas Israel Menjunam Akibat Perang Ke Atas Gaza

Pelawat Kristian tidak lagi mengunjungi Nazareth ekoran perang yang dimulakan pengganas Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu. Foto Arkib

NAZARETH, 8 FebDeretan restoran dan kedai yang lazimnya dipenuhi penganut Kristian yang melawat bandar Nazareth di utara Israel, kini ditutup, manakala basilika (gereja utama) kosong, malah banyak hotel sudah tidak beroperasi selama berbulan-bulan.

Peperangan terkini antara Hamas dengan rejim Zionis yang tercetus 7 Oktober tahun lalu, secara langsung menyebabkan industri pelancongan Israel menjunam ke lembah krisis baharu ketika ia baru mula pulih daripada kesan pandemik COVID-19.

“Kami baru merasai pemulihan aliran kedatangan pelancong pada akhir September dan awal Oktober tahun lalu.

“Namun kini, kami langsung tidak bekerja. Tiada sesiapa datang,” kata pengurus sebuah rumah tamu yang tersergam di Old City, Marwa Taha Abu Rani, sambil memaklumkan tempahan penginapan akan datang juga telah dibatalkan.

Ekonomi Nazareth amat bergantung pada kedatangan pelawat Kristian, sekali gus menjadi penggerak industri pelancongan Israel secara keseluruhan.

Pelawat Kristian tidak lagi mengunjungi Nazareth ekoran perang yang dimulakan pengganas Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu. Foto Arkib

Sebelum ini, bandar itu tetap meriah dengan pengunjung sekalipun bukan pada musim kemuncak dalam kalendar pelancongan tahunan.

Sektor pelancongan menyumbang kira-kira tiga peratus ekonomi Israel, dengan menyediakan pekerjaan kepada kira-kira 200,000 warganya secara langsung, menurut Kementerian Pelancongan.

Bagaimanapun, peperangan kini mengubah semua itu, antara lain menyaksikan banyak penerbangan ke Israel dibatalkan, manakala mereka yang berkecimpung dalam sektor terbabit merangkumi pemandu pelancong, kakitangan hotel dan pemandu bas kehilangan kerja.

Menurut Kementerian Pelancongan lagi, hanya kira-kira tiga juta pelawat berkunjung ke Israel menjelang akhir 2023.

Banyak hotel kini menerima dana kerajaan untuk penempatan warga Israel yang hilang tempat tinggal akibat peperangan itu.

Mereka adalah penduduk dari kawasan berhampiran Gaza dan bahagian utara yang bersempadan dengan Lubnan, iaitu lokasi terbabit serangan rentas sempadan dengan kumpulan pejuang Hizbullah. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *