TERKINI: PM Anwar Ucap Syukur Sembilan Aktivis Tiba Di Istanbul

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasa syukur atas pembebasan sembilan aktivis Malaysia yang selamat tiba di Istanbul pada 10 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 10 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana sembilan lagi wira dan wirawati negara selamat tiba di Istanbul, Türkiye.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri memaklumkan jentera kerajaan di bawah kendalian Kementerian Luar Negeri di Istanbul akan memastikan kelancaran proses membawa mereka kembali Malaysia dalam masa terdekat.
“Penghargaan saya kepada Kerajaan Türkiye yang membantu permudahkan urusan ini. Alhamdulillah,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan sembilan rakyat Malaysia yang terlibat dengan misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul sekitar jam 7.30 malam tadi waktu Malaysia.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar, kesemua mereka telah selamat dibawa keluar dari Israel menerusi Penerbangan Turkish Airlines TK6921.
“Mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan perubatan di Istanbul sebelum kembali ke Malaysia dalam masa beberapa hari akan datang.

“Kementerian ini merakamkan penghargaan Malaysia yang mendalam kepada Kerajaan Türkiye dan rakan-rakan kerjasama kita yang lain atas fasilitasi dan sokongan penting mereka yang telah membawa kepada pembebasan dan penghantaran pulang warganegara Malaysia ini dengan pantas.
“Keselamatan dan kebajikan semua warganegara Malaysia kekal menjadi keutamaan tertinggi Kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kesemua mereka merupakan antara 95 pesera misi yang ditahan rejim zionis sebaik sahaja kapal yang membawa muatan bantuan ke Gaza itu dipintas pihak Israel.

Difahamkan, kesemua mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan aspek fizikal dan mental dalam keadaan terbaik sebelum kembali ke tanah air, Ahad ini.
Kesemua rakyat Malaysia yang terlibat terdiri daripada iaitu Prof Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Maziah Muhammad, serta Dr Hafiz Sulaiman.
Ini termasuk juga Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
