Belanjawan 2026: PM Anwar Suntik Semangat, Motivasi Buat Penjawat Awam

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 10 Oktober 2025.
KUALA LUMPUR, 10 Okt – Peluasan inisiatif bagi sektor perkhidmatan awam menerusi Belanjawan 2026 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim amat disambut baik para penjawat awam dan menyifatkan Kerajaan MADANI terus memberi perhatian khusus terhadap kebajikan mereka.
Menurut tinjauan yang dilakukan rata-ratanya menyatakan bahawa belanjawan diumum Perdana Menteri untuk tahun hadapan terhadap kumpulan pelaksana itu menjadi pemangkin semangat dan motivasi untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.
Bagi doktor kakitangan kontrak, kelulusan 4,500 perjawatan yang diluluskan ternyata memberi kelegaan kepada kerjaya masing-masing.
“Alhamdulillah bagi kami para doktor mengucapkan syukur kerana rintihan selama ini mendapat perhatian pemimpin tertinggi negara,” ujar Dr Hazlina Abdul Aziz.
Langkah ini adalah lanjutan usaha berterusan kerajaan sejak 2023, yang telah meluluskan 1,500 jawatan tetap tambahan dan menyerap sejumlah 12,900 doktor kontrak ke dalam perkhidmatan tetap setakat ini.
“Bagi jawatan jururawat pula, 833 jururawat kontrak telah ditawarkan lantikan tetap tahun ini, manakala 935 graduan Institut Latihan KKM akan turut diserap ke jawatan tetap pada 2026,” ujar Anwar.
Turut menjadi tumpuan ialah pelanjutan Skim Pembiayaan Perumahan Muda di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi penjawat awam berusia bawah 30 tahun dengan had kelayakan maksimum pembiayaan dinaikkan kepada RM1 juta.
Bagi Johan Ariff Salim Khan, langkah itu tepat pada masanya memandangkan harga rumah di Lembah Klang, Selangor dan Putrajaya meningkat mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Jika kita lihat pun, harga rumah pasaran sekarang di sekitar kawasan Lembah Klang, Selangor dan Putrajaya sudah meningkat dengan mendadak.
“Jadi dengan peningkatan tersebut, Alhamdulillah kerajaan prihatin,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Separa Biasiswa akan menerima Elaun Sara Hidup sebanyak RM900 sebulan mulai 2026, selain peningkatan jumlah penerima daripada 100 kepada 150 orang setahun yang dianggap satu khabar gembira buat penjawat awam.
Azery Sakawi, menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai peluang baik untuk warga perkhidmatan awam memperkukuh kompetensi dan kemahiran diri.
“Ini peluang baik kepada rakan-rakan dalam perkhidmatan awam untuk terus menambah pengetahuan dan kemahiran yang amat diperlukan bagi membangunkan keupayaan diri,” katanya.
Sementara itu, Dr Shahrir Mohammad Zakey berkata, perhatian kerajaan terhadap sektor awam perlu disambut dengan komitmen penuh bagi memastikan penjawat awam turut berperanan memacu pembangunan digitalisasi negara.
“Perhatian kerajaan terhadap sektor awam adalah cabaran yang perlu disambut secara terbuka untuk sama-sama kerajaan memacu pembangunan digitalisasi negara,” katanya.

Bagi, Dr Ahmad Badruddin Abdullah pula, inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 memberi dorongan tambahan kepada penjawat awam untuk terus meningkatkan prestasi dan produktiviti kerja.
“Bila kita tengok inisiatif diberikan dalam bajet kali ini, saya teruja dan seronok. Banyak insentif diberi sebagai pengiktirafan dan penghargaan. Ini mendorong motivasi serta meningkatkan hasil kerja sektor awam,” katanya.
Kerajaan turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 15 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak, manakala pesara kerajaan serta veteran berpencen dan tidak berpencen akan menerima RM250.

Bantuan berkenaan akan disalurkan pada awal Mac tahun depan sempena sambutan Aidilfitri.
Malah, dalam Belanjawan 2026, kerajaan turut berhasrat memperkukuh institusi kehakiman, dengan gaji Hakim akan dinaikkan sehingga 30 peratus bermula 1 Januari 2026.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



