Aktivis Malaysia Dakwa Kepala Ditendang, Rambut Ditarik Tanpa Belas Kasihan

Prof Dr Mohd Afandi Salleh, salah seorang aktivis misi Freedom Flotilla Coalition x Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) yang selamat tiba di Istanbul, Turkiye pada 10 Oktober 2025.

ISTANBUL, 10 Okt – Pengalaman ngeri sepanjang ditahan di penjara Ketziot, wilayah Negev, Israel amat mengesankan sembilan aktivis Malaysia apabila menceritakan detik-detik penahanan mereka selama kira-kira 48 jam pada Jumaat.

“Kepala saya ditekan ke bawah, rambut ditarik, dan kami ditendang berulang kali. Kami terpaksa bertahan selama hampir sejam dalam keadaan sangat tidak selesa dan menyakitkan”.

Demikian luah Prof Dr Mohd Afandi Salleh, salah seorang aktivis misi Freedom Flotilla Coalition x Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) yang selamat tiba di Istanbul, Turkiye malam ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasa syukur atas pembebasan sembilan aktivis Malaysia yang selamat tiba di Istanbul pada 10 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Menurutnya, ketika kejadian, askar-askar Israel langsung tidak menunjukkan sebarang rasa belas kasihan sebaliknya ketawa apabila para aktivis menjerit meminta agar seksaan itu dihentikan.

“Ada yang menjerit ‘This is torture! You can’t do this!’ tetapi mereka hanya ketawa. Seolah-olah mereka mahu menunjukkan kepada askar muda bagaimana untuk menyeksa orang yang memperjuangkan kemerdekaan Palestin,” katanya dalam siaran langsung di TikTok.

Dr. Afandi berkata, tindakan kejam tersebut dilakukan secara terancang dan menggambarkan betapa tentera Zionis sudah diindoktrinasikan sejak kecil untuk melihat selain bangsa mereka sebagai tidak bernilai.

Kapal yang menyertai misi FFC tidak mustahil dirempuh tentera laut rejim Israel yang tidak mengenal undang-undang antarabangsa disebabkan kegagalan PBB menggunakan pengaruhnya sejak berpuluh tahun lalu.

“Wajah mereka langsung tiada perikemanusiaan. Kering, tanpa belas kasihan. Saya percaya mereka telah dididik dari kecil bahawa selain daripada mereka adalah haiwan dan boleh dilayan sesuka hati,” katanya.

Tambahnya, selepas diseksa, mereka dibawa ke pusat tahanan Israel dan dilayan seperti penjenayah walaupun tidak berniat memasuki negara itu.

“Kami hanya mahu membawa mesej keamanan ke Gaza, tetapi dilayan seolah-olah kami ini ancaman. Ia menguatkan keyakinan saya bahawa tentera Zionis Israel adalah makhluk paling kejam di dunia,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata semangat para aktivis tidak pernah luntur biarpun berdepan kekasaran dan penghinaan.

“Seorang rakan warga Amerika berkata kepada kami, ‘Don’t show your fear to the cowards’. Jangan tunjukkan ketakutan kepada mereka yang penakut. Kata-kata itu membakar semangat kami untuk terus berdiri tanpa gentar,” katanya.

Katanya, apa yang berlaku menjadi bukti nyata kekejaman rejim Zionis terhadap sesiapa yang memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.

“Kami yakin perjuangan ini benar dan akan terus berdiri bersama dunia yang menuntut keadilan untuk Palestin,” katanya.

Terdahulu, Wisma Putra mengesahkan bahawa kesemua sembilan warganegara Malaysia, yang mengambil bahagian dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG), telah dibebaskan hari ini.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata kesemua mereka telah dibawa keluar dari Israel melalui penerbangan Turkish Airlines TK6921, dan telah selamat tiba di Istanbul, Türkiye, pada pukul 7.20 malam tadi.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *