TERKINI: Nurul Izzah Dahului Rafizi Bagi Timbalan Presiden KEADILAN

Nurul Izzah Anwar ketika melakukan tinjauan di Kongres Wanita KEADILAN di Danga Bay, Johor Bahru pada 23 Mei 2025.

JOHOR BAHRU, 23 Mei – Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mendahului saingan bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden parti pada pemilihan parti itu hari ini.

Menurut sumber yang enggan dinamakan, Nurul Izzah yang dalam pertembungan satu lawan satu dengan penyandang, Datuk Rafizi Ramli, dikatakan meraih 9,000 undi berbanding Rafizi hanya lebih 3,000 undi.

Sumber pemimpin parti yang mengikuti perkembangan keputusan pemilihan berkenaan turut memberitahu, Nurul Izzah mendominasi hampir sebahagian besar undi daripada perwakilan tetap yang mengundi secara fizikal sempena Kongres Nasional Tahunan KEADILAN di sini.

Untuk rekod, Rafizi pernah tewas dalam saingan Timbalan Presiden KEADILAN pada 2018 ke atas bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pemilihan tahun itu, namun berjaya menang pada pemilihan 2022 menewaskan bekas Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pemilihan peringkat pusat KEADILAN termasuk bagi 20 jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berlangsung bermula jam 8 pagi sehingga jam 5 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, memberitahu media semalam keputusan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN akan diketahui seawal-awalnya jam 9 malam ini.

Setakat jam 7.50 malam ini, masih belum kelihatan kelibat Rafizi yang bertanding mempertahankan jawatan Timbalan Presiden KEADILAN disandangnya.

Sejumlah penyokong beliau dilihat masih setia menunggunya, walaupun dilihat diarahkan sekretariat kongres untuk mengosongkan kawasan pintu masuk utama berkenaan berkali-kali.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *