PM Anwar Mahu Tindakan Tegas Terhadap Penyelewengan, Rasuah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Program MADANI Rakyat (PMR) dan Sambutan Hari Belia Negara di Pusat Beli-Belah Toppen, Johor Bahru pada 23 Mei 2025.

JOHOR BAHRU, 23 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penyelewengan serta amalan rasuah kerana ia elemen yang merosakkan negara.

Perdana Menteri berkata, pemimpin seharusnya tidak menggunakan kedudukan untuk mengaut kekayaan demi kepentingan peribadi atau keluarga.

“(Dulu) nak ambil tindakan tak berani, kalau ambil tindakan dikata berdendam, namun orang itu kumpul puluh-puluh bilion ringgit hidup selesa, nak jadi pemimpin boleh, tapi jangan kaut.

“Negara ini perlu diselamatkan. Mahu jadi pemimpin boleh tapi jangan jadi pemimpin yang kaut kekayaan untuk diri dan keluarga mereka. Negara ini perlu diselamatkan, ini tekad kita,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Program MADANI Rakyat (PMR) dan Sambutan Hari Belia Negara di Pusat Beli-Belah Toppen, Johor Bahru pada 23 Mei 2025.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program MADANI Rakyat (PMR) dan Sambutan Hari Belia Negara di Pusat Beli-Belah Toppen, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyentuh konsep pembangunan sebenar dan ideal.

Katanya, pembangunan sebenar bukan sekadar membina bangunan pencakar langit atau mengejar pertumbuhan ekonomi, tetapi membangunkan insan yang berilmu, beradab dan berakhlak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Program MADANI Rakyat (PMR) dan Sambutan Hari Belia Negara di Pusat Beli-Belah Toppen, Johor Bahru pada 23 Mei 2025.

“Seringkali apabila disebut pembangunan, kita bayangkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan bandar, pencakar langit, lebuh raya, dan pelbagai infrastruktur baharu. Namun, untuk apa semua itu?

“Tujuan sebenar pembangunan adalah untuk membangunkan manusia. Ya, manusia. Bukan sekadar tubuh fizikal, tetapi manusia yang berilmu, berakhlak, mempunyai nilai, dan berperasaan.

“Apa maknanya kita bina bangunan tinggi, jika dalamnya dihuni oleh manusia yang ganas, rakus, angkuh, dan menekan sesama sendiri? Apa makna negara maju jika rakyatnya hidup dalam kebencian,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menyeru golongan muda untuk memainkan peranan aktif dalam memberi contoh kepada masyarakat mengenai makna sebenar kemajuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Program MADANI Rakyat (PMR) dan Sambutan Hari Belia Negara di Pusat Beli-Belah Toppen, Johor Bahru pada 23 Mei 2025.

“Saya mahu anak-anak muda beri contoh yang baik, ajar golongan tua yang mungkin kurang faham erti kemajuan.

“Tunjukkan bahawa kejayaan bukan diukur dengan bangunan tinggi, tetapi dengan nilai kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, matlamat utama pembangunan negara adalah untuk membentuk masyarakat penyayang, beradab dan saling menghormati, sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *