TERKINI: Dewan Rakyat Tak Lulus Pinda Had Tempoh Jawatan PM

Proses undian belah bahagi untuk RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat pada 2 Mac 2026.
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Dewan Rakyat hari ini tidak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.
Ia selepas RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.
Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan oleh 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Seorang Perdana Menteri yang sudah tamat tempoh 10 tahun berkhidmat masih boleh meneruskan tugas sebagai wakil rakyat atau dilantik jadi anggota Kabinet jika pengalaman dan kepakarannya masih diperlukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ini sekali gus memastikan kesinambungan pengalaman seseorang Perdana Menteri itu, ketika kepimpinan tertinggi kerajaan berubah secara berinstitusi.
“Sekiranya seorang Perdana Menteri sudah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang tempoh maksimum itu, pengalaman dan kepakarannya tidak terhenti daripada menyumbang kepada negara.
“Beliau boleh terus berkhidmat sebagai Ahli Dewan Rakyat atau dilantik ke jawatan lain dalam Jemaah Menteri seperti menteri kanan. Dengan kata lain, rakyat menentukan kerajaan melalui pilihan raya, sementara perlembagaan menentukan batas kuasa individu,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

