Lepas Enam Jam, Akhirnya TKM 1 Pulau Pinang Tinggalkan Pejabat SPRM

Mohamad meninggalkan pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah, pada pukul 4.11 petang 2 Mac 2026. Foto Danial Saad
GEORGETOWN, 2 Mac – Timbalan Ketua Menteri (TKM) I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid meninggalkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 4.11 petang tadi selepas memberi keterangan selama enam jam.
Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dilihat keluar dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 berwarna putih.
Terdahulu, media melaporkan SPRM memanggil 63 individu berhubung kes salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah dan menyalahgunakan wang zakat untuk bayaran baki pinjaman perumahan.
Isu Dana Zakat Pulau Pinang: Mohamad Enggan Ulas, Sedia Bantu Siasatan SPRM
Mereka yang dipanggil termasuklah TKM I Pulau Pinang.
Menurut sumber, SPRM mempergiatkan siasatan yang dimulakan pada pertengahan Januari lalu dengan membuat semakan ke atas akaun disyaki terbabit rasuah.
Katanya, antara individu yang dipanggil untuk dirakam keterangan ialah Ahli Majlis Agama Islam Negeri, Mufti, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan, Penasihat undang-undang, pegawai serta kakitangan Ahli Majlis Agama Islam Negeri.
Turut dipanggil Ahli Lembaga Zakat, pegawai dan kakitangan zakat negeri.
Pada Januari lalu, SPRM Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung kes salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Ini susulan pendedahan yang dilakukan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dalam persidangan dewan undangan negeri pada penghujung tahun lalu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

