Lagi Ahli Parlimen Pembangkang Diarah Keluar Dewan Rakyat

Ramli mengarahkan Yang Berhormat Pendang untuk keluar daripada dewan sehingga jika (ada) masa pengundian di Dewan Rakyat pada 2 Mac 2026.
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Seorang Ahli Parlimen pembangkangdiarah keluar dewan selepas didapati mengganggu sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.
Keputusan itu dibuat Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor, selepas memberi peluang kepada Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim itu untuk mengemukakan rayuannya.
Terdahulu, Ramli juga memohon sidang Dewan Rakyat ditempohkan atau dihentikan seketika bagi memberi peluang untuknya meneliti hukuman ke atas Ahli Parlimen Pendang itu.

“Setelah mengambil kira rayuan Yang Berhormat tadi, saya menjatuhkan hukuman sebagaimana kuasa saya di bawah peraturan (mesyuarat) 44, (sepatutnya) maksimum 10 hari dan jika saya tak puas hati, saya boleh rujuk Yang Berhormat kepada jawatankuasa.
“Walaupun sedemikian, saya mengambil kira keadaan sekeliling, masa dan ketika perdebatan berkenaan dan memikirkan ini bulan puasa. Dengan ini saya mengarahkan Yang Berhormat untuk keluar daripada dewan sehingga jika (ada) masa pengundian (RUU) sebentar lagi,” katanya ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat hari ini.
Awang yang akur dengan arahan keluar dewan, namun memohon untuk dibenarkan masuk seketika untuk membahaskan RUU berkenaan sebelum keluar semula, kemudiannya dipersetujui oleh Ramli.

Terdahulu ketika sesi perbahasan, SN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan isu Langkah Sheraton, yang merujuk usaha menggulingkan kerajaan pada Februari 2020 serta kerajaan yang dibentuk selepas itu didakwanya tidak mendapat mandat rakyat, mula mencetuskan bantahan dari kalangan Ahli Parlimen pembangkang.
Beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangkit mempertikai kenyataan Ahli Parlimen DAP itu dan menggunakan peraturan mesyuarat meminta supaya kenyataan dikeluarkan itu diperbetulkan, namun gesaan mereka ditolak oleh Timbalan Speaker.
Mengikut aturan mesyuarat, seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang membahaskan RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, dengan sesi undian dijangka berlangsung petang ini.
Ia selepas RUU itu yang membabitkan pindaan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan perlu mendapat kelulusan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua serta menegaskan RUU berkenaan tidak mengubah asas demokrasi berparlimen dan tidak menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

