TERKINI: Budak Lelaki 10 Tahun Korban Terbaharu Rabies

Mangsa mempunyai sejarah digigit anjing liar pada 11 Februari lalu, namun hanya mencuci luka dan tidak mendapatkan rawatan lanjut.
KUCHING, 21 Mac – Satu lagi kematian akibat rabies atau penyakit anjing gila direkodkan di Sarawak dengan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun menjadi mangsa terbaharu.
Mangsa yang berasal dari Kuching meninggal dunia Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 18 Mac lalu.
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam kenyataan hari ini, memaklumkan mangsa mempunyai sejarah digigit anjing liar pada 11 Februari lalu, namun hanya mencuci luka dan tidak mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa mula menunjukkan gejala seperti kurang selera makan, muntah dan hidrofobia pada 11 Mac lalu. Dia kemudian dibawa ke sebuah klinik pada 13 Mac seterusnya dirujuk ke HUS hari yang sama,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, ujian makmal mengesahkan mangsa dijangkiti rabies sebelum meninggal dunia 18 Mac lalu, sekali gus menjadikan jumlah kes rabies di Sarawak tahun ini kepada tiga.
Sehingga kini, sebanyak 93 kes rabies kalangan manusia dikesan sejak wabak itu diisytiharkan pada Julai 2017 dengan 86 daripada jumlah itu membabitkan kematian.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

