Penggunaan Kod QR Di BSI Dalam Tempoh Dua Minggu Lagi

Rakyat Malaysia menggunakan kod QR ketika memasuki Singapura menggunakan aplikasi MyRentas. Foto Arkib

JOHOR BAHRU, 3 Jun – Penggunaan kod QR di pintu masuk Johor Bahru – Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, yang sepatutnya dijadualkan beroperasi kelmarin, ditangguhkan sehingga dua minggu lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kod QR di BSI kini dalam proses vendor untuk melengkapkan aplikasi yang disediakan menggunakan MyRentas.

Katanya, ketika ini, penggunaan kod QR bagi pemeriksaan Jabatan Imigresen hanya digunakan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi laluan SecondLink Malaysia- Singapura.

“Kod QR bermula di KSAB pada 1 Jun di mana warganegara Malaysia yang menaiki bas dan motosikal melakukan pendaftaran MyTRIP yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera.

“Alhamdulillah, penggunaan kod QR di KSAB juga berjalan lancar dalam tempoh percubaan. Setakat ini, belum ada apa-apa isu masalah teknikal yang ketara.

“Namun begitu, di BSI, membabitkan laluan Tambak Johor, vendor masih lagi (dalam proses) melengkapkan aplikasi MyRentas dan dijangka akan dapat digunakan dua minggu lagi,” katanya ketika ditemui di Jalan Sultan Abdul Samad di sini, semalam.

Rakyat Malaysia menggunakan kod QR ketika memasuki Singapura menggunakan aplikasi MyRentas. Foto Arkib

Dalam pada itu, Mohamad Fazli berharap pengembara antara dua negara Malaysia dan Singapura dapat mencuba dan memuat naik aplikasi yang dibangunkan bagi penggunaan kod QR.

“Kita harapkan semua pengembara dapat mencuba dan memberikan maklum balas terhadap inisiatif terbabit yang menjadi usaha kerajaan dalam menangani kesesakan di dua pintu masuk iaitu BSI dan KSAB,” katanya.

Semalam, Pemangku Pengarah Imigresen Negeri Johor, Mohd Faizal Shamsudin dilaporkan berkata, pelaksanaan POC di KSAB pada hari pertama kelmarin, berjalan lancar dengan proses pemeriksaan imigresen yang mendapat maklum balas positif daripada pengembara.

Bagi fasa pertama, pelaksanaan kod QR hanya boleh digunakan oleh rakyat Malaysia yang menaiki bas dan motosikal di KSAB, dengan melakukan pendaftaran MyTRIP yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera.

Katanya, sebagai permulaan, bagi laluan Zon Motosikal, lima kaunter dibuka di laluan masuk dan lima kaunter di laluan keluar, manakala di Dewan Bas, terdapat empat kaunter di laluan keluar dan empat lagi di laluan masuk.

  • Oleh Omar Ahmad


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *