Terima Ancaman, MKN Arah Perketat Kawalan Keselamatan Di LNG Bintulu

Pemeriksaan ketat akan dikenakan terhadap kemudahan LNG di Bintulu susulan menerima ancaman seperti dinyatakan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Foto Muhamad Aqil
KUALA LUMPUR, 8 Sep – Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan semua kemudahan gas asli cecair (LNG) di Bintulu, Sarawak memperketatkan langkah keselamatan berikutan menerima ancaman terhadap fasiliti tenaga strategik negara itu.
MKN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah menerima laporan mengenai ancaman keselamatan terhadap beberapa fasiliti LNG dalam negara, khususnya di Bintulu.
“Kerajaan Malaysia melalui MKN mengarahkan agar semua fasiliti LNG yang beroperasi di sekitar Bintulu, Sarawak memperketatkan kawalan keselamatan dengan serta-merta buat sementara waktu.

“Ini bagi membolehkan pihak keselamatan dan pihak-pihak yang bertanggungjawab melaksanakan siasatan segera terhadap ancaman tersebut,” menurut kenyataan itu.
MKN turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung situasi berkenaan.
“Perkembangan mengenai situasi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Agensi keselamatan negara juga dilaporkan telah mengambil langkah kawalan bagi memastikan keselamatan fasiliti terbabit.
“Agensi-agensi keselamatan negara kekal bersedia berdepan sebarang kemungkinan dan telah mengambil langkah-langkah kawalan terhadap ancaman keselamatan tersebut,” kata kenyataan itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

