Tuntutan Palsu Projek Lebuh Raya MEX II: Abu Sahid, Yap Akan Didakwa Lagi

Pengarah Syarikat Maju Holdings Sdn Bhd Tan Sri Abu Sahid Mohamed akan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan dana membabitkan projek MEX II. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Sep – Pengarah Syarikat Maju Holdings Sdn Bhd Tan Sri Abu Sahid Mohamed yang didakwa hari ini di Mahkamah Sesyen di sini atas 17 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan projek Lebuh Raya MEX II, akan didakwa lagi.

Kali ini, Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pula akan menjadi ‘tuan rumah’ perbicaraan tersebut dalam masa terdekat, atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan dana membabitkan projek sama.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Ahmad Akram Gharib berkata bekas pengarah syarikat pembinaan, Datuk Yap Wee Leong juga akan dihadapkan ke mahkamah sama (Shah Alam) berhubung projek serupa.

Isteri Pengarah Syarikat Maju Holdings Sdn Bhd (kiri) yang terlibat dengan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya MEX II, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas satu pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM67.1 juta, lapan tahun lalu. Foto The Star

Ahmad Akram berkata Abu Sahid akan didakwa atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan harta di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama melibatkan jumlah RM145 juta.

“Yap pula akan didakwa atas 18 pertuduhan … sembilan daripadanya adalah di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 membabitkan jumlah RM209 juta dan sembilan lagi di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 melibatkan jumlah RM387 juta,” katanya.

Tan Sri Abu Sahid Hadapi 17 Pertuduhan Pecah Amanah, Pengubahan Wang Haram Lebih RM400 juta

Menurut Ahmad Akram, hari ini Abu Sahid telah dituduh atas empat pertuduhan pecah amanah RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram RM139.2 juta.

“Yap juga telah didakwa menggunakan 17 dokumen tuntutan palsu antara Jun 2017 hingga April 2018.

“Dokumen berkenaan melibatkan tuntutan kerja tanah, saliran, cerun dan pembinaan subgred bagi projek Lebuhraya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), iaitu projek MEX II, dengan nilai antara RM9 juta hingga RM28 juta setiap satu menjadikan jumlah keseluruhan lebih RM314 juta,” katanya.

Azam berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara tahun 2016 hingga 2020 di mana dana sukuk yang diluluskan berjumlah kira-kira RM1.35 billion.

Beliau berkata sebutan semula kedua-dua kes telah ditetapkan pada 3 November ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *