Tentera Darat Cekup Empat PATI Cuba Lolos Sempadan Negara

Anggota tentera darat menahan empat PATI yang cuba memasuki sempadan negara di kawasan Biawak, Lundu. Foto ATM
LUNDU, 3 Mei – Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menyekat kemasukan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) di Biawak, Lundu, hari ini.
Markas Pemerintahan Medan Timur TDM melalui Sel Operasi Media berkata anggota mereka di bawah formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) menjalankan rondaan di Sektor Ops Awas/ Keris Parang sekitar jam 11.45 pagi.
Menurutnya, mereka bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) telah terserempak dengan tiga lelaki dan seorang wanita sedang berjalan dari arah sempadan Indonesia.

“Hasil daripada penahanan dan pemeriksaan terhadap empat orang PATI dalam lingkungan umur 26 hingga 50 tahun tersebut mendapati tiada barang terlarang serta berbahaya dijumpai.
“Anggaran nilai keseluruhan barangan yang diperiksa adalah berjumlah RM5,150 iaitu melibatkan wang tunai, telefon bimbit, beg dompet dan beg pakaian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kesemua empat PATI telah dibawa ke sempadan negara untuk pengusiran.
Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul mengikut peraturan semasa.
“Tentera Darat akan terus komited untuk memperketatkan kawalan di persempadanan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara daripada sebarang bentuk pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
