Tempoh Lat Masih Berkuatkuasa, SPR Tak Cadang Kajian Persempadanan

Menara SPR di Putrajaya. Foto Arkib
KUALA LUMPUR, 1 Jan – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak merancang untuk melaksanakan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah berikutan lat tempoh yang masih berkuat kuasa.
Ia juga hanya boleh dilaksanakan apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, menjelaskan urusan itu hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun dari tarikh siapkan kajian terdahulu.
Dari semasa ke semasa, beliau berkata sebagaimana difikirkan perlu, bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri berlandaskan kepada prinsip serta tatacara yang ditetapkan mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

“Urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri.
“Bagi maksud tersebut, urusan kajian semula persempadanan terdahulu bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu telah selesai dijalankan pada 2018. Bagi Sarawak dan Sabah pula adalah masing-masing pada 2015 serta 2017.
“Sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri oleh SPR serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menjelaskan kriteria yang perlu dipertimbangkan untuk mewajarkan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya, Abdul Ghani berkata terdapat empat prinsip bagi urusan itu.
Pertama, katanya kewajaran memudahkan diadakan bagi pemilih diberi peluang keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian-bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri.
“Kedua, mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian.

“Ketiga, bilangan pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan kesukaran lain yang dihadapi bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan.
“Keempat, perhatian kepada pemeliharaan hubungan tempatan,” katanya.
Oleh yang demikian, Abdul Ghani berkata pihaknya akan terus bersedia melaksanakan tanggungjawab yang diberikan demi kepentingan rakyat dan negara ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
