Tarif Elektrik: Kadar Baharu Lebih Adil Buat 23.6 Juta Pengguna

Pengguna boleh menikmati penjimatan elektrik dengan menggunakannya secara bijak dan berhemah menerusi bil terpeinci yang akan dilaksanakan bermula Julai 2025.

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Suruhanjaya Tenaga (ST) mengumumkan pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang diluluskan oleh kerajaan yang bakal memberi manfaat kepada lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung bermula 1 Julai ini hingga 31 Disember 2027 di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).

Pengumuman itu nyata lebih memberangsangkan kerana beberapa elemen penting terutamanya mendidik pengguna mengamalkan penjimatan dan mengurangkan pembaziran, jelas disertakan dalam jadual tarif baharu menerusi Insentif Cekap Tenaga (ITC).

ITC akan diperkenalkan juga bermula 1 Julai ini sebagai galakan kepada 23.6 juta pengguna domestik yang mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah.

“Melalui insentif ini, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kWj dan ke bawah dijangka tidak terkesan dengan pelaksanaan jadual tarif baharu.

“Selain itu, pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200 kWj dan ke bawah turut akan mendapat manfaat daripada insentif ini,” katanya.

Perubahan tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) membabitkan penstrukturan semula tiga komponen iaitu kadar purata tarif asas; jadual tarif baharu dan mekanisme pelarasan kos bahan api.

ST berkata, kadar purata tarif asas diselaraskan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) dan ditetapkan pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024.

“Dengan pelarasan tersebut, purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan sehingga 19 peratus berbanding Tempoh Rugalatori Ketiga (RP3),” katanya menerusi kenyataan.

ST berkata, pengenalan jadual tarif baharu itu turut meliputi perubahan kategori pengguna yang terbahagi kepada domestik dan bukan domestik berdasarkan penggunaan voltan sama ada voltan rendah, sederhana serta tinggi.

Selain itu, katanya, ia turut merangkumi penetapan setiap caj bagi komponen tenaga, kapasiti, rangkaian dan peruncitan yang berdasarkan kos berkaitan.

ST berkata, skim Masa Penggunaan (TOU) sudah diselaras dan diperluas kepada tempoh luar puncak yang lebih panjang iaitu keseluruhan Sabtu, Ahad dan 10 malam sehingga 2 petang pada hari Isnin hingga Jumaat.

Katanya, ia bagi menggalakkan pengurusan penggunaan yang lebih cekap mengikut waktu permintaan, sejajar dengan usaha ke arah sistem tenaga lebih cekap dan lestari.

“Sekiranya pengguna menggunakan waktu di luar puncak, pengguna dapat menjimatkan bil elektrik berbanding penggunaan ketika waktu puncak,” katanya.

ST berkata, kerajaan turut bersetuju supaya tarif spesifik digunakan bagi kategori pertanian, perkhidmatan air dan pembetungan serta operator rel bagi memastikan aspek sosial dan kebajikan dipelihara.

“Kerajaan turut bersetuju pemberian rebat sebanyak 10 peratus bagi institut berdaftar pengajian tinggi, sekolah, rumah kebajikan dan rumah ibadat.

“Serta penerusan Program Rebat Bil Elektrik RM40 iaitu bantuan bulanan sehingga maksimum RM40 yang diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar dan berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *