PM Anwar Doakan Kekuatan Buat Ketua Pembangkang

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada Hamzah dan keluarga atas pemergian ibu mentuanya yang maut dalam kebakaran di Ipoh pada 19 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin susulan pemergian ibu mentuanya, Allahyarhamah Salmiah Nyak Matt, 84 ke rahmatullah.
Allahyarhamah dilaporkan maut dalam satu kebakaran di Kampung Sungai Rapat Tambahan, Ipoh, Perak pada Khamis manakala suaminya berusia 83 tahun sesak nafas dalam insiden berkenaan dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB), Ipoh.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, beliau turut bersedih dengan tragedi menyayat hati itu dan mendoakan agar Hamzah serta seluruh keluarga terus diberi kekuatan menghadapi ujian tersebut.

“Takziah kepada Ketua Pembangkang YB Hamzah Zainudin atas kehilangan bonda mentua tercinta.
“Saya mendoakan agar beliau terus kuat dengan ujian dahsyat ini. Semoga ruh Allahyarhamah diampunkan segala dosanya dan diberi tempat yang istimewa oleh-Nya, Insya-ALLAH,” katanya.
Hantaran tersebut turut memaparkan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dan isterinya mengiringi jenazah allahyarham di sebuah masjid di Ipoh sebelum disemadikan pada Jumaat.
Polis turut mengesahkan kejadian berkenaan dalam satu kenyataan media jam 11 malam semalam yang melibatkan empat ahli keluarga lain yang terselamat dan difahamkan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
