Perkasa Tadbir Urus, Tatakelola Baik Pastikan Kerajaan MADANI Terus Cemerlang

Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam perhatian dunia apabila lebih ramai pemimpin asing mula menunjukkan minat mencontohi sistem tadbir urus dan tatakelola baik terutama selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei lalu. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PENDAPAT, 21 Jun – Kecekapan pengurusan dan pentadbiran Kerajaan MADANI boleh ditingkatkan melalui pelaksanaan amalan tadbir urus dan tatakelola yang baik selaras dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai model terbaik dalam kalangan negara ASEAN dan negara membangun.
Tadbir urus yang berintegriti, telus dan berakauntabiliti tinggi merupakan asas utama dalam membentuk kerajaan yang cekap, berkesan dan diyakini rakyat serta pelabur asing dari semasa ke semasa.
Pelaksanaan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang efisien, pendigitalan pentadbiran serta pemantauan pelaksanaan dasar secara berkala adalah antara pendekatan yang mampu menambah baik kecekapan pentadbiran.

Di sini, peranan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) sebagai agensi pemandu mampu memperkasakan institusi awam, menggarap tadbir urus baik menerusi garis panduan yang dikemas kini serta memastikan pengurusan kementerian dan agensi kerajaan dilaksanakan mengikut kerangka dasar pentadbiran Kerajaan MADANI.
Di sebalik pemisahan kuasa yang jelas antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman, pengukuhan mekanisme semak dan imbang juga boleh dilakukan bagi memastikan tiada ruang kepada penyalahgunaan kuasa, ketirisan dan pembaziran sumber yang akan merugikan rakyat.
Arahan-arahan pentadbiran wajib dilaksanakan segera tanpa bertangguh juga merupakan aspek kecekapan pentadbiran sesebuah kementerian atau agensi kerajaan dalam kita mengejar masa memulihkan persepsi rakyat terhadap kemampuan mereka.
Amalan tatakelola baik juga menuntut keterlibatan rakyat dalam proses pembuatan dasar melalui pendekatan inklusif dan mesra rakyat. Ketelusan dalam pengurusan kewangan awam serta pelaksanaan dasar berdasarkan data dan fakta contohnya statistik daripada Jabatan Perangkaan (DOSM) turut menyumbang kepada keberkesanan pentadbiran.
Tidak lari daripada prinsip-prinsip MADANI seperti ihsan, kemampanan dan keadilan sebagai asas pentadbiran, Malaysia bukan sahaja dapat membina sistem kerajaan yang lebih cekap dan responsif, malah berpotensi menjadi penanda aras kepada ASEAN dan negara-negara membangun dalam usaha membina sebuah negara yang stabil, maju dan makmur.
Usahalah berdalih mentransformasikan pentadbiran kerajaan yang lebih baik kerana pilihan kini di tangan mereka yang melaksanakan segala perancangan dan inisiatif lebih baik kerana hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk kembali imej dan maruah negara bukan mainan atau retorik semata-mata.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

