Tarif AS Mungkin Cecah Hingga 15 Peratus Bagi Negara Tertentu

Wakil Perdagangan AS (USTR), Jamieson Greer ketika diwawancara CBS News dalam rancangan Face The Nation pada 22 Februari 2026. Foto CBS News
WASHINGTON, 25 Feb – Kadar tarif Amerika Syarikat (AS) bagi beberapa negara bakal melonjak sehingga 15 peratus atau lebih tinggi, berbanding kadar 10 peratus yang dikenakan baru-baru ini.
Wakil Perdagangan AS (USTR), Jamieson Greer, berkata peningkatan itu akan dilaksanakan tanpa menamakan secara khusus negara-negara yang terbabit buat masa ini.
Bercakap kepada media pada Rabu, Greer menjelaskan langkah itu adalah sebahagian daripada pelarasan semula dasar perdagangan pentadbiran Presiden Donald Trump susulan keputusan mahkamah baru-baru ini.

Tindakan itu dilihat sebagai langkah susulan selepas Trump mengumumkan kenaikan tarif global daripada 10 peratus kepada 15 peratus pada Sabtu lalu.
Kenaikan itu dibuat menggunakan kuasa di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974, selepas Mahkamah Agung AS membatalkan program tarif terdahulu yang dianggap melebihi kuasa eksekutif presiden.
Menurut Greer, walaupun tarif sejagat ditetapkan pada paras tertentu, beberapa negara mungkin akan terus dikenakan kadar yang lebih tinggi berdasarkan perjanjian yang telah dirundingkan sebelum ini.

Beliau memberi contoh eksport dari negara seperti Malaysia dan Kemboja yang mungkin kekal tertakluk kepada kadar cukai 19 peratus mengikut rundingan sedia ada walaupun kadar tarif universal adalah lebih rendah.
“Negara-negara ini perlu menghormati perjanjian yang dicapai walaupun kadar itu lebih tinggi daripada tarif Seksyen 122,” katanya dalam satu temubual berasingan sebelum ini.
Langkah terbaharu ini dijangka akan mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran global, memandangkan Seksyen 122 hanya membenarkan tarif dikenakan selama 150 hari kecuali jika mendapat kelulusan lanjut daripada Kongres AS.

Pentadbiran Trump sebelum ini menegaskan tarif adalah mekanisme utama untuk mengurangkan defisit perdagangan dan menggalakkan pembuatan domestik di AS. – Reuters
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
