Tangani Jenayah Siber Tuntut Pihak Berkuasa Wujud Pelan Pemeliharaan, Penahanan Metadata

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) selaku teraju utama dalam menangani isu pemerolehan dan penahanan metadata daripada dipadam, penting bagi memahami kepentingannya kepada aspek perlindungan dari unsur jenayah dalam talian.

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Sejajar dengan kepesatan teknologi digtal masa kini, sebuah rangka kerja piawai yang bersesuaian bagi aspek pemeliharaan, pendedahan data dan akses kepada metadata komunikasi amat penting bagi pengukuhan keselamatan siber sebagai salah satu kaedah menangai jenayah siber, keganasan dalam talian seperti buli dan penipuan dalam talian (scam).

Untuk tujuan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) selaku teraju utama dalam menangani isu berkenaan, bertindak proaktif terhadap cadangan berkenaan termasuk menyediakan ekosistem perundangan berkaitan bagi memastikan objektif berkenaan tercapai dalam tempoh yang munasabah.

Langkah berkenaan turut diakui Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid yang melihat peranan metadata amat penting bukan sahaja melindungi pengguna media sosial, bahkan ia amat penting dari segi pembuktian perundangan apabila sesuatu kes jenayah dalam talian dibawa ke mahkamah.

Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid melihat peranan metadata amat penting bukan sahaja melindungi pengguna media sosial, bahkan ia amat penting dari segi perundangan apabila sesuatu kes jenayah dalam talian dibawa ke mahkamah. Foto Yusof Mat Isa

Menurut beliau yang juga pakar kriminologi, akses segera kepada metadata seperti alamat protokol internet atau IP (internet protocol address), log panggilan dan data geolokasi (geotag location) memastikan bukti diperoleh secara sah, dipelihara dari sudut perundangan dan mahkamah menerima metadata yang diperolehi sebagai salah satu bukti kes sebelum membuat keputusan.

“Dari sudut kriminologi, akses pantas ini amat penting bagi mengenal pasti suspek, mengganggu rangkaian jenayah, dan melindungi mangsa, terutamanya dalam kes jenayah teknologi tinggi yang bergerak pantas, dengan kelewatan walau seketika boleh mengakibatkan kegagalan mencegah bahaya atau menggagalkan pendakwaan.

“Cadangan MCMC menyelaraskan rangka kerja antara semua penyedia perkhidmatan dijangka dapat menangani ketidakkonsistenan sedia ada, menutup jurang bukti, dan memastikan semua pihak tertakluk kepada kewajipan serta perlindungan yang sama.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sebagai agensi berkuasa boleh melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam memberi pencerahan tentang kepentingan memelihara metadata sebagai satu bentuk bukti jenayah terhadap individu yang disyaki melakukan jenayah dalam talian. Foto MCMC

“Ini bukan sahaja akan mengurangkan pertikaian dari segi bidang kuasa dan kebolehterimaan bukti, malah akan mempercepatkan proses siasatan dan meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Paling penting, kesemua bukti yang dikemukakan di mahkamah tetap diterima walaupun berkemungkinan sumber asal daripada pemerolehan metadata tersebut cuba dipadam atau dihilangkan biarpun jejak digital masih wujud merentas pelbagai platform media sosial.

Malah beliau memberitahu, beberapa negara telah maju ke hadapan seperti Kesatuan Eropah (EU) yang menyeragamkan semua bentuk penahanan data seragam di benua berkenaan melalui Penahanan Data Kesatuan Eropah (EU) (2006/24/EC) bagi memastikan penjenayah tidak terlepas dengan bukti yang cuba dipadam menerusi peranti asal menggunakan komunikasi digital namun dibantah agensi perlindungan data Max Schrems.

Kerjasama erat antara Kementerian Komunikasi serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mampu menangani isu jenayah dalam talian termasuk memperkenalkan kawal selia terhadap pemeliharaan metadata daripada cuba dipadam atau dihilangkan penjenayah. Foto Facebook Fahmi Fadzil

“Walaupun arahan tersebut dibatalkan oleh Mahkamah EU, ia menjadi satu rangka kerja paling berkesan menerusi kerjasama rentas sempadan antara badan penguatkuasa dalam menangai jenayah terancang di benua itu.

“Di Australia, Akta Pindaan (Pintasan dan Akses Telekomunikasi) 2015 yang mewajibkan penahanan metadata selama dua tahun telah membantu polis menyelesaikan kes-kes kritikal termasuk jenayah siber dan eksploitasi kanak-kanak,” katanya.

Pun begitu, satu perjanjian perlindungan data baharu antara EU dan Amerika Syarikat (AS) bagi menangani kebimbangan privasi Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ) sedang diusahakan.

Menurut Presiden Suruhanjaya Eropah (EC), Ursula von der Leyen, perjanjian ini meningkatkan hubungan ekonomi antara EU dan AS dan adalah langkah penting untuk meningkatkan kepercayaan rakyat bahawa data mereka selamat dan terpelihara.

Antara kebimbangan yang berlaku adalah apabila ketiadaan rangka kerja yang konsisten menimbulkan risiko serius terhadap keselamatan awam manakala dari segi perundangan, ia menyebabkan pematuhan yang tidak sekata dalam kalangan penyedia perkhidmatan, yang mungkin memadam bukti penting sebelum pihak berkuasa sempat mendapat akses yang sah.

Langkah Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memperluas Kempen Internet Selamat (KIS) dilihat mampu melindungi kanak-kanak daripada terlibat dalam jenayah dalam talian. Foto Facebook Fahmi Fadzil

Justeru, keadilan wajar ditegakkan sama ada menerusi pemerolehan metadata secara sah atau menerusi permohonan mahkamah namun dikhuatiri proses tersebut memakan masa, membolehkan penjenayah mengambil kesempatan dengan menggunakan penyedia perkhidmatan yang mempunyai dasar penahanan data yang lemah atau tiada kawal selia terhadap data yang disimpan dalam storan awan (cloud stogare).

Namun, cabaran utama dalam isu metadata ini ialah isu privasi data pengguna yang tidak terlibat dalam kegiatan jenayah dalam talian kerana ia pasti akan menjadi polemik berpanjangan dari soal perundangan, akses terhadap kandungan serta kononnya kerajaan mahu memantau sebarang komunikasi rakyat.

Bagi menangani isu berkenaan, MCMC sudah pasti memperkenalkan langkah perlindungan yang wajar seperti hanya individu yang disyaki melakukan jenayah boleh diberi keizinan untuk diakses dengan kebenaran mahkamah, terhad kepada kegiatan jenayah yang disiasat pihak berkuasa.

Memelihara ekosistem digital menerusi pemeliharaan metadata penting bagi melindungi kanak-kanak daripada terlibat dalam jenayah dalam talian. Foto Facebook Fahmi Fadzil

Di sinilah peranan metadata akan membuktikan sesuatu perlakuan jenayah yang dilakukan dan bukannya menyentuh kandungan komunikasi individu yang tidak berada dalam radar siasatan pihak berkuasa seperti arahan mahkamah.

Dilema masyarakat kata Dr Hazreena Begum boleh dikurangkan dengan memberi pemahaman menyeluruh dengan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO), media dan sesi libat urus merangkumi pelbagai pihak agar presepi negatif dapat diuruskan dengan baik selain mengurangkan kebimbangan awam terhadap privasi mereka di alam siber.

“Orang ramai diseru menyertai rundingan awam yang dijalankan MCMC bagi menyuarakan pandangan, cadangan, dan kebimbangan terhadap cadangan ini.
“Penyertaan aktif masyarakat akan membantu memastikan rangka kerja ini dibentuk dengan seimbang, melindungi keselamatan awam tanpa mengorbankan kebebasan peribadi,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *