Serang Pegawai Imigresen, Wanita China Didakwa Esok

Wanita warga China yang ditahan berhubung kes mencederakan pegawai kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pada Isnin.

SEPANG, 17 Ogos – Seorang wanita warga China berusia 31 tahun yang ditahan berhubung kes mencederakan pegawai kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintenden Albany Hamzah berkata, lima keterangan individu telah direkodkan membabitkan kes ini.

“Keterangan ini termasuklah mangsa (pegawai kaunter).

“Wanita warga China ini akan didakwa esok (Isnin) di mahkamah,” katanya.

Mengenai rekod kemasukan wanita terbabit ke dalam negara, Albany menjelaskan bahawa perkara itu sedang disiasat oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.40 malam apabila empat warga China, terdiri daripada dua dewasa dan dua kanak-kanak, hadir untuk pemeriksaan pelepasan imigresen.

Pegawai kaunter mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod pergerakan masuk dan telah merujuk kepada Penyelia Pasukan untuk semakan lanjut.

Bagaimanapun, wanita dewasa tersebut tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat.

Suspek kemudian memaki hamun pegawai dengan kata-kata kesat sebelum menarik tudung pegawai dan menolak kepalanya dengan kuat ke arah tiang di hadapan kaunter.

Akibat serangan itu, pegawai mengalami bengkak di sekitar mata kiri, sakit kepala dan lenguh badan, sebelum dirujuk ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan serta laporan perubatan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *