Tak Puas Hati, Trump Naikkan Lagi Tarif Global Kepada 15 Peratus

Pasaran saham New York (NYSE) meningkat selepas keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan tarif Trump dengan keputusan 6-3 pada 20 Februari 2026. Foto Reuters

WASHINGTON, 22 Feb – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan kenaikan kadar tarif global baharu daripada 10 kepada 15 peratus, hanya sehari selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Agung AS tarif import terdahulu yang diperkenalkan pentadbirannya.

Pengumuman itu dibuat melalui platform Truth Social di mana Trump berkata, pentadbirannya menggunakan kuasa maksimum mengikut Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 – satu peruntukan yang jarang digunakan – bagi mengenakan tarif sementara tanpa kelulusan Kongres.

Langkah terbaru itu diumumkan menerusi platform Truth Social semalam, sekali gus menggandakan komitmen terhadap dasar tarif agresifnya meskipun Mahkamah Agung AS kelmarin, memutuskan sebahagian besar program tarif beliau sebagai menyalahi undang-undang.

Enam daripada sembilan hakim Mahkamah Agung AS menolak tarif Trump dengan alasan tidak berpelembagaan pada 20 Februari 2026. Foto AFP

Sebelum ini, Trump menyatakan bahawa tarif seragam 10 peratus akan dikuatkuasakan ke atas semua barangan import.

Kenaikan tarif itu dibuat susulan keputusan 6-3 Mahkamah Agung, yang mendapati Trump melampaui kuasa Presiden ketika menggunakan undang‑undang kecemasan ekonomi (IEEPA) untuk melaksanakan tarif global tahun lalu.

Trump mengecam keputusan itu sebagai “ridiculous” dan menuduh beberapa hakim bertindak “anti-Amerika.”

Kadar 15 peratus yang baharu ini mewujudkan ketidaktentuan baharu bagi negara seperti United Kingdom dan Australia, yang sebelum ini memiliki perjanjian tarif 10 peratus dengan AS.

Indeks Dow Jones (DJIA) meningkat lebih 100 mata pada 20 Februari 2026 selepas Mahkamah Agung AS membatalkan tarif Tump. Foto Yahoo Finance

Namun begitu, sektor seperti keluli, aluminium, farmaseutikal, automotif dan aeroangkasa tidak terjejas kerana ia tertakluk di bawah undang‑undang tarif berbeza yang kekal berkuat kuasa.

Pengumuman pada Sabtu itu dijangka mencetuskan ketidaktentuan lebih buruk dalam perang perdagangan global. Bagaimanapun, menurut Rumah Putih, duti baharu ini hanya bersifat sementara untuk tempoh 150 hari.

Beberapa pengecualian masih kekal bagi sektor yang berada di bawah siasatan berasingan termasuk sektor farmaseutikal serta barangan di bawah Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA).

Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar daripada langkah tarif yang diperkenalkan Trump pada 1 Ogos 2025.

Keputusan drastik itu mula mendapat perhatian pemimpin dunia yang meminta peraturan dagangan antarabangsa yang lebih stabil dan berasaskan prinsip timbal balik

Canselor Jerman, Friedrich Merz berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan sekutu Eropah bagi merangka “pendirian teguh Eropah” sebelum berlepas ke Washington pada awal bulan depan.

Di peringkat domestik, Gabenor Pennsylvania dari Demokrat, Josh Shapiro menggesa Trump supaya menghormati keputusan mahkamah.

“Sudah tiba masanya untuk Trump mendengar kata Mahkamah Agung, menghentikan tarif yang huru-hara, dan berhenti membebankan petani, pemilik perniagaan kecil serta keluarga kita,” katanya menerusi hantaran di laman X.

Walaupun pasaran saham Wall Street menunjukkan kenaikan sederhana selepas keputusan mahkamah Jumaat lalu, penganalisis menjangkakan pertikaian undang-undang mengenai tuntutan bayaran balik tarif yang telah dibayar sebelum ini akan berlarutan selama bertahun-tahun. – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *