Muhyiddin Bakal Masuk Mesyuarat PN Dalam Keadaan ‘Tempang’

Adakah Pas masih lagi ‘memberi muka’ kepada Muhyiddin setelah mengesahkan akan mencalonkan satu nama bagi diangkat menggantikannya? Foto Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Tak perlu malu tapi terimalah hakikat bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah tidak seperti dahulu atau dikira ‘tempang’ terutama selepas pemecatan timbalan presiden Hamzah Zainudin pada 13 Februari lepas.

Hamzah bukan setakat membawa keluar bersama dirinya yang dipecat, malah berbelas ahli parlimen dan Adun tidak termasuk berpuluh ketua bahagian di seluruh negara yang meletak jawatan dan keluar parti ‘berjemaah’ menyebabkan ‘bahtera’ Bersatu jelas ‘senget’ sama ada ke kiri atau ke kanan.

Sekurang-kurangnya, itulah yang ‘bersarang’ di minda Muhyiddin Yassin walaupun mengesahkan akan hadir dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) malam ini yang akan memutuskan pelantikan pengerusi baharu gabungan tersebut.

Pemecatan Hamzah bukan sekadar menjadikannya musuh nombor satu Muhyiddin, malah merosakkan imej Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Apa sahaja agenda pertemuan tersebut termasuk membincangkan perkara-perkara melibatkan pemerkasaan PN, ia sudah tidak bermakna disebabkan pemecatan Hamzah dan sebahagian besar pemimpin akar umbi bersolidariti bersamanya membuatkan nilai Muhyiddin jatuh teruk di mata Pas.

“Sehubungan itu, saya akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada 22 Februari ini yang akan memutuskan pelantikan Pengerusi PN serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pengukuhan dan pemerkasaan Perikatan Nasional,” katanya pada Sabtu.

Menarik juga untuk dilihat, adakah Pas masih lagi ‘memberi muka’ kepada Muhyiddin setelah mengesahkan akan mencalonkan satu nama bagi diangkat menggantikannya?

Atau adakah ‘kem Hamzah’ akan mendapat tempat lebih istimewa memandangkan Muhyiddin tinggal beberapa sahaja ahli parlimen yang bersandar di bahunya?

Perpecahan dalaman Bersatu disebabkan tindakan ke atas Hamzah juga sudah pasti memberi kesan signifikan terhadap Perikatan Nasional (PN) serta Pas yang disyaki menjadi antara ‘operator’ menumbangkan Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN.

Dapat juga maklumat terkini bahawa bekas Ketua Bersatu Bahagian Selayang, Ahmad Nasir Mid mendakwa, Muhyiddin tidak bersedia menerima pemimpin Pas sebagai Pengerusi PN baharu.

Dakwanya, pendirian itu dapat dilihat melalui beberapa tindakan dan keputusan yang dibuat dalam siri-siri pertemuan dalaman gabungan berkenaan.

Katanya, Bersatu di bawah Muhyiddin secara jelas tidak mahu pemimpin Pas menerajui PN, walaupun Pas mempunyai jumlah ahli parlimen paling banyak dalam komponen PN berbanding Bersatu yang kini terpecah dua kem, Hamzah dengan 18 manakala Muhyiddin cuma hanya tinggal tujuh sahaja.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *