Banjir: Tawau Daerah Terkini Terkesan, Jumlah Mangsa Meningkat

Anggota bomba dari JBPM Tawau membantu penduduk terjejas banjir berpindah segera ke PPS di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau pada 21 Februari 2026.

TAWAU, 22 Feb – Banjir yang melanda Sabah sejak kelmarin di beberapa daerah mula melanda Tawau yang menjadi daerah terbaharu di negeri ini terkesan apabila seramai 245 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau.

Hujan berterusan selama beberapa jam sejak malam Sabtu menyebabkan beberapa kawasan di daerah itu dinaiki air sekali gus mengakibatkan banjir kilat.

Antara lokasi terjejas ialah Kampung Tanjung Batu Keramat, Kampung Baru, Kampung Rawa-Rawa, Kampung Ranggu, Taman Fujimart, Taman Setia, Jalan Shin Onn dan Jalan Takada.

Anggota bomba dari JBPM Tawau membantu penduduk terjejas banjir berpindah segera ke PPS di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau pada 21 Februari 2026.

Mangsa diselamatkan pasukan bomba untuk dipindahkan ke PPS.

Beberapa video serta gambar keadaan banjir turut dikongsikan warganet yang memaparkan air mengalir deras di beberapa lokasi sekitar Tawau.

Sementara itu, laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah setakat jam 8 pagi Ahad memaklumkan, jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 5,191 orang yang dipindahkan ke PPS.

Anggota APM memantau banjir di Kampung Beliajung, Kota Marudu pada 20 Februari 2026. Foto Facebook APM Kota Marudu

Jumlah itu melibatkan empat lagi daerah lain iaitu Kota Marudu dengan 1,929 mangsa, Pitas (2,120), Paitan (847) dan Kota Belud (50).

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *