Syarikat Pelaburan Bumiputera Digesa Perkukuh Daya Saing – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera di Putrajaya pada 23 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 23 Jun – Syarikat pelaburan yang bernaung di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera perlu terus memperkukuhkan daya saing ekonomi domestik serta menjamin pulangan mampan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim
Menurut Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook, penegasan tersebut dibuat ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera bagi meneliti prestasi semasa syarikat-syarikat di bawahnya pagi tadi.

“Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, saya tegaskan keperluan untuk kita terus memperkukuhkan daya saing ekonomi domestik serta menjamin pulangan mampan kepada pemegang unit amanah.
“Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) perlu menggandakan usaha meningkatkan tahap celik pelaburan dalam kalangan masyarakat, khususnya bumiputera,” katanya.

Yang turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta pengurusan tertinggi PNB dan PHB.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) pula harus kekal komited memperkasakan usahawan bumiputera melalui akses kepada pembiayaan serta sokongan peningkatan kapasiti dan keupayaan perniagaan.

“Saya tegaskan semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan yang memegang mandat pembangunan bumiputera, mesti terus menjadi pemacu dasar serta pelaksana utama inisiatif kerajaan, khususnya menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) yang telah dilancarkan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
