Sumbangan Tunai Rahmah (STR): 8.6 Juta Rakyat Terima Mulai Esok

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran itu melibatkan peruntukan RM2 bilion bagi meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 11 Ogos – Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan seramai 8.6 juta rakyat akan menerima bayaran sehingga RM650 menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 bermula esok.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran itu melibatkan peruntukan RM2 bilion bagi meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah.
Menurutnya, jumlah penerima Fasa 3 meningkat 300,000 orang berbanding 8.3 juta penerima Fasa 1 pada Januari lalu, hasil pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun.

“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan Madani tidak mengambil enteng amanah untuk meningkatkan maslahat rakyat agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara.
“Jumlah ini merupakan peningkatan seramai 300,000 daripada 8.3 juta penerima Fasa 1 pada Januari 2025. Peningkatan ini hasil daripada langkah Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak,” katanya.
Pembayaran STR Fasa 3 akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.

“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan. Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.
”Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat mengenai STR,” kata kenyataan itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
