Bas Kilang Terbabas Di Selekoh, Empat Pekerja Cedera

Anggota bomba ketika di lokasi kemalangan membabitkan sebuah bas kilang di Jalan Paya Terubong, Pulau Pinang pada 11 Ogos 2025.
BALIK PULAU, 11 Ogos – Empat penumpang bas kilang mengalami kecederaan ringan manakala 26 lagi dilaporkan terselamat selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas di selekoh jalan berbukit Jalan Paya Terubong, Ayer Itam di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 itu, kesemua mangsa terdiri operator kilang bersama seorang pemandu bas masing-masing dikatakan berjaya keluar sendiri dari kenderaan termasuk ada dibantu pengguna jalan lain.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.24 pagi.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan ll Mohamad Syafizan Mohd. Rosli.
“Berlaku kemalangan melibatkan sebuah bas jenis Nissan yang membawa pekerja kilang telah terbabas di selekoh jalan raya berbukit.
“Terdapat 30 orang pekerja termasuk pemandu di dalam bas tersebut. Dalam kejadian tersebut, seramai empat orang pekerja mengalami cedera ringan. Kerja-kerja penyelamatan sedang dijalankan dan maklumat akan dikemaskini,” katanya di sini, hari ini.
Semasa kejadian, keadaan jalan dilaporkan basah akibat hujan yang turun sejak pukul 6 pagi tadi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
