Kehidupan Orang Asli Kini Lebih Selesa Dengan Sumbangan Asas Rahmah

Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kini dinikmati segenap golongan termasuk masyarakat Orang Asli yang ternyata memberi manfaat dalam mengurangkan kos sara hidup. Foto MyKasih Foundation

PENDAPAT, 11 Ogos – Kita sering mendengar cakap-cakap kononnya masyarakat Orang Asli terpinggir dari arus pembangunan negara terutamanya dalam segi bantuan yang disediakan kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Namun dengan pelbagai ikhtiar dan program yang disusun JAKOA kebelakangan ini, kehidupan masyarakat Orang Asli kini semakin terbela hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif bantuan oleh kerajaan, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Bantuan kewangan ini memberi kelegaan besar kepada keluarga Orang Asli yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada hasil hutan dan tanaman seperti ubi kayu sebagai sumber makanan utama.

Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dijalankan secara besar-besaran mampu mengurangkan kos pengangkutan semata-mata mahu mendapatkan sumbangan di bank yang jauh di bandar. Foto Bernama

Dengan adanya STR dan SARA, mereka kini mampu membeli pelbagai barangan keperluan harian yang lebih berkhasiat dan seimbang, sekali gus meningkatkan kualiti pemakanan sama seperti penduduk kampung dan desa di seluruh negara.

Ini diakui seorang penerima di Gua Musang, Kelantan yang bersyukur SARA ternyata membantu mengurangkan kos sara hidup.

“Kami tak perlu lagi ganti nasi dengan ubi kayu”, itu respons polos Amoi Asud, 36, dari suku Temiar di Kampung Jader, Pos Simpor, Gua Musang, menggambarkan betapa bantuan SARA benar-benar membawa perubahan dalam kehidupan harian mereka terutama dalam menjamin keperluan makanan asas.

Bagi Harun Abus dan Suria Kamarul, SARA ternyata mengurangkan kos sara hidup harian di kawasan mereka di Gua Musang, Kelantan. Foto Bernama

Katanya dengan hanya pengesahan MyKad, urusan suaminya yang akan ke bandar untuk membeli beras dan makanan kering seperti mi dan bihun sebagai bekalan keluarga menjadi lebih mudah dan menjimatkan masa.

“Sejak ada bantuan ini bantu kami pastikan makanan sentiasa ada dan tak perlu lagi bergantung pada ubi kayu kalau bekalan beras habis,” katanya.

Perubahan ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada ubi kayu, tetapi juga membuka ruang kepada gaya hidup yang lebih moden dan sihat. Keluarga Orang Asli kini dapat menikmati makanan berasaskan protein, sayur-sayuran segar, dan bijirin yang sebelum ini sukar diperoleh kerana kekangan kewangan.

Bantuan kerajaan ini tidak terhad kepada STR dan SARA malah kerajaan memberi peluang kepada mereka untuk menyertai program keusahawanan bagi meningkatkan taraf ekonomi di komuniti masing-masing.

Dengan adanya STR dan SARA, mereka boleh menyalurkan lebihan perbelanjaan kepada pendidikan anak-anak, pembaikan rumah, dan kemudahan asas lain. Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan taraf hidup dan memperkukuh kedudukan ekonomi komuniti tersebut.

Langkah ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Dengan kesinambungan bantuan seperti STR dan SARA, masa depan masyarakat Orang Asli dijangka lebih cerah, bebas daripada kemiskinan tegar, dan lebih berdaya saing dalam arus pembangunan negara.

Menerusi Belanjawan 2025, peruntukan untuk STR dan SARA ditingkatkan kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelumnya. Kadar bantuan tahunan SARA juga dinaikkan kepada RM2,100 berbanding RM1,200 tahun lepas.

Inisiatif itu selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan pemerkasaan rakyat berpendapatan rendah menerusi peluang adil, taraf hidup lebih baik serta perlindungan sosial menyeluruh.

Sudah pasti menjelang pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober depan, lebih banyak peruntukan infrastrukur dan program rakyat bersasar akan dilaksanakan termasuk kepada masyarakat Orang Asli sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI iaitu tiada yang terpinggir daripada perhatian kerajaan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *