Suling Hill Berpotensi Jadi Pusat Rekreasi Tumpuan Kaki ‘Hiking’

Sebahagian para peserta tidak melepaskan peluang untuk mengadakan sesi bergambar bersama Nur Aishah dalam Program Forest Bathing 2024.

PENDAPAT, 25 Ogos – Program Forest Bathing siri 4.0 anjuran Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah berjaya diadakan pagi kelmarin dengan meriah sekali bertempat di Suling Hill Bukit Langkap Mengkuang di mana program tersebut telah disempurnakan oleh Nur Aishah Zainol selaku Ahli Majlis MBSP.

Penganjuran Forest Bathing 4.0 juga ini merupakan salah satu pelaksanaan pelan strategik MBSP dalam usaha untuk menaiktaraf Suling Hill Bukit Langkap Mengkuang menjadi destinasi eko pelancongan terutamanya di Seberang Perai.

Nur Aishah dalam ucapannya berkata tujuan diadakan Program Forest Bathing di sini kerana ia merupakan lokasi pilihan oleh Jabatan Landskap MBSP untuk memperkenalkan Suling Hill di Bukit Langkap sebagai lokasi tumpuan terbaharu pusat rekreasi yang membolehkan orang awam melakukan aktiviti seperti hiking dan trek jogging ataupun beriadah bersama ahli keluarga.

Peserta sempat menikmati buah-buahan yang terdapat di Suling Hill Bukit Langkap di Empangan Mengkuang dalam program Forest Bathing 4.0 tahun 2024.

Bukan itu sahaja, Suling Hill boleh dianggap sangat menarik di mana terdapat dua laluan yang disediakan untuk pengunjung atau orang awam melakukan aktiviti rekreasi dan riadah pada bila-bila masa.

Bagi pengunjung yang melakukan aktiviti hiking akan dapat melihat dua pemandangan indah daripada atas puncak Bukit Langkap yang salah satunya dapat melihat Empangan Mengkuang yang dahulunya menjadi lokasi tumpuan orang awam gemar melakukan aktiviti berjogging.

Kini Suling Hill Bukit Langkap telah menjadi alternatif terbaharu untuk orang awam melakukan aktiviti hiking atau berjogging yang kebetulan lokasinya juga tidak begitu jauh dengan empangan berkenaan.

Malah Suling Hill merupakan kawasan lapang yang strategik di mana terdapat beberapa kemudahan lain antaranya rumah rehat dan juga dusun buah-buahan. Jelas Nur Aishah jikalau hendak merasai aneka buah durian datanglah bila setiap kali datangnya musim buah durian.

Menariknya, salah satu objektif diadakan Forest Bathing siri 4.0 di pusat rekreasi ini antara lain adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada para peserta mengenai perubahan iklim dan kepentingan mengekalkan persekitaran sihat yang terdapat di Suling Hill Bukit Langkap Mengkuang.

Forest Bathing yang diadakan pada kali ini adalah sejajar dan selaras dengan kempen Familiy Focused Green and Smart State That Inspires The Nation yang menjadi teras Penang 2030.

Program yang berlangsung dalam keadaan cuaca agak baik cuma kelihatan mendung seperti hendak hujan tetap berjalan lancar daripada awal sehinggalah tamatnya program itu tadi.

Paling mengujakan Nur Aishah ialah sambutan orang ramai terhadap program yang diadakan pada pagi itu mencapai angka bilangan empat ratus orang peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Tanpa mengira latar belakang umur dan bangsa, para peserta turut memeriahkan suasana program Forest Bathing 4.0 di Seluing Hill Bukit Langkap baru-baru ini.

Nur Aishah semasa mengakhiri ucapannya di dalam program tersebut berharap semoga dengan kehadiran para peserta ke program Forest Bathing yang agak ramai ini dapat memupuk semangat persaudaraan dan kekeluargaan disamping menikmati suasana yang mendamaikan lagi menenangkan fikiran.

Rata-ratanya sebahagian para peserta yang hadir ke program Forest Bathing 4.0 melahirkan rasa kegembiraan dan seronok sekali kerana dapat beramah mesra antara satu sama lain dan pada masa sama dapat bertukar-tukar fikiran sambil menikmati pemandangan alam flaura yang indah.

Selesai sahaja program Nur Aishah terus bergegas ke satu lokasi lain menghadirkan diri mengikuti aktiviti gotong royong bersama MPKK Mengkuang Titi Penanti membersihkan kawasan lama yang terbiar.

– Oleh Muzakkir Haron


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *