PL: Chelsea Kenduri Gol 6-2 Di Molineux

Pemain Chelsea meraikan gol Noni Madueke pada aksi menentang Wolves di Stadium Molineux sebentar tadi. Foto Getty Images

LONDON, 25 Ogos – Gergasi London, Chelsea mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri selepas membenam Wolverhampton Wanderers 6-2  pada saingan Liga Perdana Inggeris (PL) di Stadium Molineux sebentar tadi.

Pada perlawanan kedua liga musim baharu ini, The Blues bermula garang apabila menyumbat gol seawal minit ke-2 hasil tandukan penyerang utama, Nicolas Jackson.

Tersentak dengan gol tersebut, Wolves memperkemaskan jentera serangan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-27 selepas Matheus Cunha menyudahkan hantaran Rayan Ait-Nouri.

Joao Felix meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Perdana Inggeris (PL) sebentar tadi.

Chelsea sekali lagi mendahului hasil penyudah luar biasa pemain sensasi, Cole Palmer pada minit ke-45 untuk meletakkan The Blues sekali lagi di depan.

Namun, kegembiraan pasukan pelawat tidak bertahan lama selepas Wolves bangkit untuk mengikat kedudukan 2-2 menerusi penyudah Jorgen Strand Larsen pada masa kecederaan babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, Chelsea hanya memerlukan empat minit untuk kembali mendahului hasil rembatan Noni Madueke yang menyudahkan hantaran Palmer.

Jaringan tersebut menaikkan semangat Madueke untuk mencetak hatrik dengan menambah dua gol pada minit ke-58 dan ke-63 bagi memastikan Chelsea semakin selesa melebarkan kelebihan 5-2.

Pemain gantian, Joao Felix melengkapkan hari sempurna buat skuad kendalian Enzo Maresca itu dengan gol keenam pada penghujung perlawanan dengan keputusan kekal sehingga wisel penamat.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *